malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bunuh Zulfarhan - Suhakam bantah hukuman gantung 6 pesalah
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM
ADS

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak bersetuju dengan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan, Suhakam berkata, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah itu, namun ia berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

“Atas dasar itu, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

"Gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.

"Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia," kata suruhanjaya itu, hari ini.

Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati enam bekas pelajar itu bersalah, dan mengketepikan sabitan awal mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim itu berkata, mereka mendapati hukuman 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan oleh bekas pelajar itu.

Justeru, hukuman itu diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.

Mengulas lanjut, Suhakam berkata, keputusan mahkamah rayuan itu menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.

"Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

"Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.

"Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati," katanya lagi.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat kecederaan daripada 90 tekapan seterika wap yang menyebabkan kira-kira 80 peratus badannya melecur.

Remaja berusia 21 tahun itu didakwa diserang kerana enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar itu, di asrama universiti awam tersebut di Kuala Lumpur.

Mereka yang didapati bersalah itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen