malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fahmi: KPM akan jawab isu sekolah terima derma syarikat arak
ADS

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menyerahkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menjelaskan isu sumbangan dana sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang melibatkan Tiger Beer.

Fahmi berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

"Menteri pendidikan akan jawab. Sila hubungi Kementerian Pendidikan," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya hari ini.

Namun Fahmi tidak menyatakan bila Kementerian Pendidikan akan menjelaskan perkara itu.

"Saya serahkan kepada Kementerian Pendidikan. Mereka telah diberitahu untuk jawab," katanya lagi.

Fahmi Fadzil

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dia akan meminta kabinet menyemak semula garis panduan kementerian yang melarang sekolah menerima sumbangan daripada hasil jualan minuman keras dan produk tembakau.

Loke berkata garis panduan tersebut tidak seharusnya mengandungi sekatan itu, sekurang-kurangnya untuk sekolah rendah Cina.

Sekolah Cina dikecualikan?

Terdahulu hari ini, Sin Chew Daily melaporkan kabinet memutuskan yang larangan sumbangan daripada syarikat tembakau dan minuman keras tidak akan terpakai untuk sekolah vernakular Cina.

Memetik sumber, laporan itu berkata sementara kabinet memutuskan untuk mengekalkan garis panduan itu, ia "tidak akan dikenakan kepada sekolah Cina atau bukan Islam".

Malaysiakini difahamkan Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara tersebut.

Semalam, Fadhlina menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan berhubung larnagan itu.

Isu tersebut tercetus selepas didapati Tiger Beer menjadi salah satu penaja sebuah acara meraih dana anjuran SJK(C) Tche Min in Sungai Pelek di Sepang pada Ahad lalu.

Turut hadir di acara itu adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, Exco Selangor Ng Suee Lim dan Adun Sungai Pelek Lwi Kian Keong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen