Dua wakil rakyat DAP meminta pihak berkuasa segera menyiasat akaun TikTok yang dikendalikan seorang individu yang didakwa menyediakan perkhidmatan pengambilan bayi untuk dijadikan anak angkat secara tidak sah.
Timbalan setiausaha parti itu bagi hal ehwal antarabangsa, Kasthuri Patto, memberitahu Malaysiakini bahawa dia terkejut apabila Adun Malim Nawar, Bavani Shasha Veraiah, memaklumkan kepadanya mengenai akaun tersebut.
"Akaun TikTok milik seorang lelaki di Pulau Pinang mempamerkan iklan untuk pengambilan bayi sebagai anak angkat, menyediakan sijil kelahiran, dan nombor WhatsApp sebagai maklumat perhubungan.
"Siapakah individu ini? Apakah kelayakannya? Apakah niat melakukan perkara ini? Siapa yang membantunya di Jabatan Pendaftaran Negara dalam mendapatkan sijil kelahiran?" katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Bavani yang dikeluarkan secara eksklusif kepada Malaysiakini.
Kasthuri (gambar di atas) berkata, ini bukan kali pertama mereka mendengar mengenai aktiviti sedemikian.
Dia menambah perbuatan itu mengeksploitasi keluarga yang terdesak untuk mencari wang dengan cara pantas dan keluarga yang memerlukan anak angkat.
Iklan secara terang-terangan
Merujuk beberapa kes di mana polis menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada sindiket sedemikian, Kasthuri berkata individu terbabit secara terang-terangan mengiklankan perkhidmatan itu di TikTok.
"Dia mempunyai 7,459 pengikut dan lebih daripada 20,000 tanda suka untuk kirimannya, dan angka ini semakin meningkat.
"Enam video menunjukkan bayi yang baru lahir yang nampaknya untuk dijadikan anak angkat - ada daripadanya seawal enam hari lalu," katanya.
Malaysiakini cuba menghubungi pengendali akaun berkenaan yang pada mulanya memberi respons.

Bagaimanapun, selepas beberapa kiriman mesej, individu tersebut menggunakan bahasa kesat dan kemudian menyekat mesej kami.
Pada 2013, polis Pulau Pinang menyelamatkan seorang bayi berusia dua bulan yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak, yang ditemui di sebuah rumah di USJ, Subang Jaya.
Justeru, Kasthuri dan Bavani menggesa Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk menjalankan siasatan dan menyeru orang ramai membuat laporan polis terhadap perkhidmatan tersebut.
"Kami juga menyeru sistem pengambilan anak angkat yang telus dan efisien oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerana garis panduan yang samar-samar dan tidak jelas, termasuk tempoh menunggu yang sangat lama bagi bakal pengambil anak angkat, yang menyumbang kepada masalah ini.
"Sudah tentu, tidak boleh ada jalan pintas, dan semuanya mesti dilakukan demi kepentingan terbaik kanak-kanak, tetapi mesti ada 'tempoh menunggu' yang munasabah," tambah mereka.

