malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Derma syarikat bir: Tiada kompromi patut diberi, kata PAS Selangor
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 12:40 PM
Dikemaskini: 5:08 AM
ADS

PAS Selangor berpendapat, mustahil ada sekolah yang tidak mengetahui pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung berhubung prosedur penerimaan sumbangan daripada pihak luar.

Pesuruhjayanya, Ab Halim Tamuri, berkata pekeliling tersebut dikeluarkan KPM sejak 2018 dan menggariskan kaedah penerimaan sumbangan yang dibenarkan atau sebaliknya.

Dalam pekeliling itu, katanya, antara yang ditekankan ialah kekangan untuk pihak sekolah menerima sumbangan hasil daripada kegiatan perjudian, rokok, dadah, dan minuman keras.

Ab Halim yang juga Adun Paya Jaras memberitahu, syarat tersebut dibuat agar pihak sekolah tidak menerima sebarang sumbangan yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani mereka.

"Adalah amat mengecewakan rakyat Malaysia jika benar kenyataan dalam Malaysiakini yang Timbalan Menteri Pendidikan (Wong Kah Woh) tidak membantah tindakan menerima sumbangan daripada hasil minuman keras yang jelas bercanggah dengan pekeliling KPM pada 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini memetik Wong sebagai berkata pembangkang khususnya PAS Selangor sengaja membangkitkan isu syarikat bir menyumbang kepada tabung sekolah rendah Cina.

Wong berkata tindakan itu adalah memutarbelitkan fakta bagi menghasut emosi masyarakat Melayu.

Jelasnya syarikat bir terbabit sudah aktif mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak 30 tahun lalu, dan dengan ketara mengurangkan beban kerajaan sekali gus menambah baik kemudahan sekolah.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 (sumbangan dana tersebut), dan saya sendiri menghadiri pelancaran ulang tahun ke-30.

"Selama bertahun-tahun, jumlah dana yang dikumpul telah melebihi RM400 juta telah memberi manfaat kepada ramai pelajar," katanya.

Ab Halim berkata sepatutnya tiada sebarang tolak ansur boleh diberikan kepada sekolah yang cuba melanggar pekeliling dikeluarkan oleh KPM.

"Pekeliling yang dikeluarkan sejak 2018 itu mustahil masih tidak diambil maklum oleh pihak sekolah.

"KPM perlu memantau dengan lebih dekat setiap aktiviti sumbangan yang berlaku di sekolah selepas ini.

"Tiada sebarang kompromi boleh diberikan kepada mana-mana sekolah yang cuba melanggar pekeliling KPM.

"Sangat tidak profesional dan tidak beretika bagi mana-mana pemimpin kerajaan yang tidak membantah tindakan seperti ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen