malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wong bidas PAS bangkit isu sumbangan syarikat arak bantu sekolah Cina
Diterbitkan:  Jul 22, 2024 3:48 PM
Dikemaskini: Jul 23, 2024 12:16 AM
ADS

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh hari ini mengecam pembangkang khususnya PAS Selangor yang membangkitkan isu syarikat bir menyumbang kepada usaha mengumpul dana untuk sekolah.

Wong berkata tindakan itu memutarbelitkan fakta bagi menghasut emosi masyarakat Melayu.

Jelasnya syarikat kilang bir itu secara aktif mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak 30 tahun lalu, dengan ketara mengurangkan beban kerajaan dan menambah baik kemudahan sekolah.

Wong Kah Woh

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30, dan saya sendiri menghadiri pelancaran ulang tahun ke-30. Selama bertahun-tahun, jumlah dana yang dikumpul telah melebihi RM400 juta, memberi manfaat kepada ramai pelajar," katanya.

Wong menyatakan bahawa PAS pada mulanya menyerang Ahli Parlimen Sepang Aiman ​​Athirah kerana memegang cek replika dengan logo syarikat kilang bir itu dan kemudian menyerang keseluruhan acara mengumpul dana berkenaan dengan menghasut emosi perkauman.

Wong menyatakan bahawa kerajaan Madani telah berkuasa selama hampir dua tahun dan secara konsisten menyediakan pembiayaan kepada sekolah Cina.

Tahun ini, kerajaan menambah peruntukan untuk sekolah menengah Cina swasta kepada RM18.9 juta. Bagi sekolah rendah Cina, selain geran penyelenggaraan tahunan, kerajaan juga menyediakan tambahan RM62 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf tandas di 886 sekolah rendah Cina.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat swasta dan entiti yang menyokong pendidikan, seperti Chinese Education Charity Performance, yang telah membantu dalam menambah baik infrastruktur sekolah selama ini, membolehkan sekolah berkembang lebih jauh,” katanya.

Ahad lalu, acara amal anjuran sekolah itu mencetuskan kontroversi selepas didapati syarikat kilang bir merupakan salah seorang penderma.

Majlis itu dirasmikan oleh exco Selangor Ng Suee Lim.

Turut hadir Adun Sungai Pelek Lwi Kian Keong dan Aiman selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tiga hari lalu, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar mengkritik Aiman, dengan menyifatkan perkara itu memalukan.

Semalam, Aiman ​​memohon maaf kepada mereka yang tersinggung selepas dia memegang cek replika berlogo syarikat kilang bir itu.

Bagaimanapun, Aiman ​​menegaskan sebagai pemimpin, dia tidak boleh mengabaikan hak masyarakat lain.

Kementerian Pendidikan berkata ia sedang menyiasat dakwaan itu.

“Kementerian memandang serius perkara ini dan kami ingin mengingatkan pentadbir sekolah supaya mematuhi garis panduan sedia ada ketika menganjurkan program dan menerima sumbangan.

“Dan ini meliputi larangan menerima derma daripada keuntungan yang diperoleh melalui aktiviti perjudian, pengeluar rokok, pembuat minuman beralkohol dan seumpamanya kerana ia boleh membahayakan pelajar kita dari segi fizikal, intelek, rohani dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Lwi mempertahankan Aiman ​dengan berkata bahawa acara berkenaan mempunyai sejarah beberapa dekad.

Kecaman terhadap acara itu menurutnya adalah disebabkan parti politik tertentu cuba mempengaruhi pendapat awam.

“Pihak ekstremis lain cuba mempengaruhi pendapat awam terhadap perkara ini (pengumpulan dana), yang membawa kepada penentangan daripada pengundi Melayu.

“Mereka menggunakan media sosial…… mengelirukan netizen, malah sunting gambar Aiman ​​dengan botol bir, menunjukkan bahawa Amanah turut menyokong minuman beralkohol,” katanya kepada Malaysiakini.

Lwi percaya Aiman ​​langsung tidak bersalah dengan kritikan yang dilontarkan oleh netizen terhadapnya.

Dia memuji Aiman ​​sebagai seorang pemimpin berilmu yang menyokong pendidikan Cina.

Jelasnya, dia dan Aiman ​hadir pada majlis itu sebagai saksi atas jemputan pihak sekolah.

Dia menyebut bahawa Aiman ​​bersetuju untuk menghadiri majlis itu untuk menunjukkan sokongan terhadap usaha mengumpul dana sekolah, bukan untuk menyokong alkohol.

Lwi berkata Aiman ​​turut menyumbang RM100,000 kepada SJK(C Tche Min manakala dia menderma RM10,000.

Bagaimanapun, dia berkata keputusan sama ada sekolah itu telah melanggar peraturan hanya boleh dibuat selepas Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen