malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ulama PAS gesa teruskan baca doa Qunut Nazilah
Diterbitkan:  Jul 22, 2024 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

Seorang ulama kanan PAS hari ini menunjukkan sokongannya agar Qunut Nazilah terus dibaca oleh ahli parti itu dari semasa ke semasa.

Gesaan Mokhtar Senik itu dibuat ketika pelbagai pihak termasuk daripada kalangan mufti berpendapat langkah membaca qunut berkenaan terhadap orang Islam lain sebagai tidak wajar.

Kata ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat itu, Qunut Nazilah wajar terus dibacakan ke atas "semua orang zalim" yang didakwanya "tidak mengaku ada kurap."

Dalam hantaran ringkas di media sosial, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu berkata pihak yang didakwanya zalim itu memang tidak akan pernah mahu mengaku "ada kurap."

"Baca je terus Qunut Nazilah sampai semua orang zalim tak kira di mana zaman dan di mana daerah di penjuru dunia ini dijatuhkan oleh Allah.

"Mereka memang tak mengaku ada kurap, tapi apabila disimbah air belacan kenapa kamu tergaru-garu?" katanya.

Ahli Parlimen PAS dan PN membaca Qunut Nazilah di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu sebagai reaksi mereka terhadap penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menyertai sidang parlimen selama enam bulan.

Ahli Parlimen Machang yang juga ketua Pemuda Bersatu itu dikenakan hukuman tersebut ekoran membawa hujah menggunakan surat layang semasa berbahas.

Zulkifli Ismail

Bacaan qunut pada hari itu diketuai Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Beberapa pihak termasuk Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan pandangan bahawa ia tidak wajar dibuat secara semberono.

Menurut Mohd Asri bacaan doa dalam Qunut Nazilah sepatutnya dibaca khusus untuk buat musuh Islam yang melakukan kezaliman yang amat nyata ke atas umat Islam serta golongan yang lemah.

Katanya sesuatu doa tidak dibaca untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi dijadikan bahan politik.

Si munafik, syaitan menggelupur

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula mengeluarkan kenyaatan memberitahu Qunut Nazilah memang boleh dibaca untuk keadaan tertentu, iaitu seperti ditimpa musibah atau wujud situasi membahayakan keselamatan.

Namun begitu, katanya, orang Islam tidak dibenarkan membaca doa tersebut untuk ditujukan kepada umat Islam yang kerana tiada dalil atau ulama yang membenarkannya.

Mokhtar bukanlah pemimpin kanan PAS yang pertama mempertahankan tindakan Zulkifli.

Kelmarin, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, mendakwa bacaan Qunut Nazilah tersebut wajar dibuat kerana doanya tidak terhad untuk situasi peperangan saja.

Sebaliknya, kata Hashim, doa itu boleh dibacakan jika ada "jemaah Islam" yang membawa perjuangan agama - yang dirujuknya sebagai PN - ditekan oleh pihak lawan.

"Lagi-lagi yang ditekan adalah kelompok jemaah Perikatan Nasional berjuang membawa syiar Islam,” katanya.

Ahmad Dusuki Abdul Rani

Sementara itu Presiden Persatuan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ahmad Dusuki Abdul Rani, turut memberi pandangan berhubung bacaan doa kepada musuh mereka.

Menurut Ahmad Dusuki, doa merupakan senjata orang yang beriman.

"Saat doa dibaca mengelupur si munafik, syaitan, si kafir dan segala konco-konconya," katanya.

Bagaimanapun dia yang ditarik tauliah untuk memberi kuliah atau berceramah di Selangor tidak menjelaskan lebih lanjut dakwaan tersebut.

Reaksi warganet terhadap hantaran Ahmad Dusuki itu pula adalah pelbagai. Ketika ada ramai yang menyokongnya, tidak ketinggalan ada pula pihak menyarankan dia agar lebih berhati-hati membuat kenyataan.

Ada juga warganet meletakkan pautan kepada klip video mengenai wajar atau tidaknya membacakan doa Qunut Nazilah di parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen