malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cukuplah PAS jadi ‘kuli batak’ Bersatu, kata veteran Umno
Diterbitkan:  Jul 22, 2024 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM
ADS

Veteran Umno hari ini mendakwa bahawa Bersatu tidak mampu bertanding atas kekuatan sendiri tetapi terpaksa menumpang kekuatan sekutunya, PAS.

Dalam satu kenyataan, setiausaha veteran Umno, Mustapha Yaakub atas sebab itu dalam pilihan raya kecil PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini, Bersatu terpaksa menggunakan logo PAS.

“Bersatu tidak berani menggunakan logonya atau logo PN di Nenggiri kerana mereka tahu penyokong PAS tidak akan mengundi calon Bersatu. 

“Tapi dengan menggunakan logo PAS maka Bersatu boleh bermain silap mata dengan pengundi PAS,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, Naib Presiden Bersatu Mohd Radzi Md Jidin memberi alasan Perikatan Nasional menggunakan logo PAS untuk mengekalkan strategi yang digunakan pada pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Mustapha mendakwa perkara sama  berlaku semasa pilihan raya umum ke-15 apabila Bersatu memenangi beberapa kerusi di Kelantan dengan sokongan PAS.

“Sebab itu dalam PRK Nenggiri Bersatu terpaksa menggunakan logo PAS dengan alasan Bersatu adalah komponen Perpaduan Nasional. 

“Berbeza dengan PRK Sg Bakap walaupun calonnya dari PAS tetapi mengguna logo PN,” kata Mustapha.

Pada pilihan raya umum 2022, sekurang-kurangnya dua calon Bersatu, Ikmal Hisham Abdul, dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggunakan logo PAS untuk bertanding di kerusi Parlimen Kelantan.

Kedua-dua mereka menang masing-masing di kawasan Parlimen Tanah Merah dan Machang.

Justeru, Mustapha menyeru pengundi PAS supaya menolak calon Bersatu.

“Cukuplah dengan menjadi 'kuli batak' kepada Bersatu. 

“Pengalaman bekas wakil rakyatnya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim jelas membuktikan bahawa gagasan PN tidak mampu mentadbir Kelantan tanpa bantuan kerajaan pusat,” katanya lagi. 

PRK Nenggiri tercetus selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN itu kosong berikutan Bersatu mengumumkan keahlian Mohd Azizi Abu Naim terhenti pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian menetapkan pengundian pada 17 Ogos, dengan penamaan calon pada 3 Ogos dan pengundian awal pada 13 Ogos.

Umno telah menamakan Ketua Pemuda Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil itu manakala calon PN belum diumumkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen