malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersih cadang tukar SPRM ke nama asal BPR
Diterbitkan:  Jul 19, 2024 4:21 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Gabungan pilihan raya Bersih menggesa rombakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mencadangkan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR).

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata SPPR akan bertanggungjawab ke atas pelantikan ketua dan pegawai SPRM.

"Perkara pokok yang disarankan adalah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (‘SPPR’)/Anti-Corruption Service Commission (ACSC) yang bertanggungjawab dalam melantik Ketua Pesuruhjaya dan Pegawai SPRM.

"Berkaitan perkara ini, SPPR bertanggungjawab untuk memberikan nama cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam masa sama, prosedur melucutkan Ketua Pesuruhjaya SPRM turut diletakkan di tangan SPPR sekiranya terlibat dalam kes salah laku atau hilang upaya dalam menjalankan tugas.

"Tempoh Ketua Pesuruhjaya perlu ditetapkan hanya untuk lima tahun.

"Bagi mengelakkan kekeliruan antara SPPR dan SPRM, badan pencegahan rasuah SPRM dicadangkan untuk ditukar semula kepada nama asal seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR)," kata gabungan NGO itu pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Bersih telah mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan untuk melindungi kebebasan SPRM. Cadangan itu melibatkan peralihan kuasa untuk melantik dan memecat ketua pesuruhjaya dan pegawai SPRM lain daripada kabinet kepada SPPR yang dicadangkan Bersih.

Mengulas lanjut, Bersih berkata SPPR yang baru ditubuhkan perlu melantik pengerusinya daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik baki empat hingga sepuluh ahli berdasarkan budi bicaranya.

Bagaimanapun, Bersih berkata pelantikan itu mesti berdasarkan nasihat perdana penteri dan bekas pengarah BPR, yang bertindak sebagai ahli ex-officio.

Selain itu, jawatankuasa itu mencadangkan supaya parlimen menubuhkan Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Hal Ehwal Rasuah (JBPR) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Rasuah dan memantau kedua-dua BPR dan SPPR.

"Lebih utama, JBPR juga bertanggungjawab untuk menyemak dan mengesahkan cadangan lantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah yang dicadangkan oleh SPPR kepada YDPA bersama perbincangan dengan Perdana Menteri.

JBPR juga perlu meneliti dan mengesahkan nasihat PM berkenaan lantikan pengerusi dan ahli-ahli SPPR.

Kata Bersih lagi, JBPR yang ditubuhkan perlu terdiri dari keanggotaan yang mencerminkan komposisi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan dipengerusikan oleh ahli parlimen Pembangkang.

"Keanggotaan JBPR juga terdiri dari antara 8-12 anggota yang dilantik oleh YDPA dengan nasihat bersama Presiden Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat," katanya.

SPPR, JBPR serta BPR akan memantau antara satu sama lain, jelas gabungan NGO itu.

"Ia akan melindungi kebebasan BPR dalam menjalankan operasi pencegahan rasuah, serta menjamin akauntabiliti BPR sendiri menerusi tindakan pemantauan yang lebih ketat.

"Melihat ke hadapan, Bersih akan meluaskan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya pihak Kerajaan bagi menggerakkan pelaksanaan agenda Reformasi SPRM ini sebagai salah satu langkah menambahbaik sistem tatakelola negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepada usaha Kerajaan memerangi rasuah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen