malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muda gesa Speaker isytihar 6 kerusi bekas MP Bersatu kosong
Diterbitkan:  Jul 19, 2024 9:50 AM
Dikemaskini: 1:52 AM
ADS

Muda menggesa Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mempertimbangkan semula keputusannya mengekalkan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu.

Muda berkata keputusan speaker menetapkan "satu duluan berbahaya" yang boleh membuka pintu kepada gerakan yang serupa dengan Langkah Sheraton, di mana ahli politik mengkhianati mandat rakyat demi kepentingan peribadi dan kuasa politik mereka.

"Tafsiran Speaker terhadap Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak betul, kerana ia dengan jelas menyatakan bahawa seseorang itu akan berhenti menjadi ahli Dewan jika dia berhenti menjadi ahli parti politik yang diwakilinya ketika dipilih.

"Ramai Ahli Parlimen Pembangkang dengan tepat menunjukkan bahawa Speaker telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam membuat keputusan ini, kerana hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan parti untuk memecat Ahli Parlimen ini tidak boleh dicabar di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966," kata Muda dalam kenyataan hari ini.

Johari minggu lalu memutuskan enam ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh mengekalkan kerusi mereka, walaupun parti itu menamatkan keahlian mereka.

Keputusan kontroversi itu mendapat kritikan daripada ahli politik dan masyarakat awam.

Mengulas lanjut, Muda menegaskan bahawa undang-undang anti-lompat parti telah digubal pada 2022 dengan tujuan untuk mengekang aktiviti lompat parti yang mengkhianati mandat rakyat.

"Keputusan Dewan Speaker boleh membuka pintu bagi Ahli Parlimen untuk mengingkari keputusan parti mereka tanpa sebarang tindakan. Ia melemahkan undang-undang anti-lompat parti dan kehendak rakyat yang mengundi Ahli Parlimen ini berdasarkan afiliasi parti mereka," katanya.

Isytihar kerusi kosong

Muda menggesa speaker supaya tidak memihak dan mempertimbangkan semula keputusannya untuk mempertahankan perlembagaan dan kehendak rakyat.

"Enam kerusi ini mesti diisytiharkan kosong, dan pilihan raya kecil perlu diadakan untuk membolehkan rakyat memutuskan siapa yang patut mewakili mereka di Parlimen.

"Keputusan ini tidak seharusnya membuka perancangan Langkah Sheraton 2.0, di mana ahli politik mengkhianati mandat rakyat demi kepentingan peribadi dan kuasa politik," kata Muda.

Parti itu mempersoalkan apakah Johari membuat keputusan mengekalkan kerusi enam ahli parlimen berkenaan kerana kerajaan takut menghadapi kekalahan teruk seperti yang berlaku pada PRK Sungai Bakap.

"Adakah Speaker tidak berasa malu apabila negara-negara lain melihat Malaysia sebagai negara yang tidak melaksanakan reformasi seperti yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim?" soalnya.

Dalam pada itu Muda turut membidas PAS kerana menerima Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis, yang digantung enam tahun daripada Umno.

"Langkah PAS untuk menerima pelompat parti ini boleh melemahkan undang-undang anti-lompat parti dan kehendak pengundi yang memilih wakil rakyat ini berdasarkan afiliasi parti asal mereka," tegasnya.

Muda berkata parti itu juga tidak mahu Johari menjadi Speaker pertama di Malaysia yang menjadi korup demi kepentingan peribadi dan hubungan peribadinya dengan kerajaan Anwar Ibrahim.

"Oleh itu Muda mendesak supaya beliau menghormati undang-undang dan kehendak rakyat, serta memastikan demokrasi di Malaysia terus kukuh dan berwibawa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen