malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bertolak ansurlah dengan suku bangsamu, YB Ramli'
Diterbitkan:  Jul 17, 2024 10:34 AM
Dikemaskini: 3:09 AM
ADS

Seorang aktivis Orang Asli hari ini meminta timbalan speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor supaya menggunakan budi bicara dan bertolak ansur apabila berhadapan pengkritik daripada kalangan masyarakat Orang Asli.

Gesaan itu dilontarkan susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Cameron Highlands itu terhadap seorang lelaki Orang Asli, yang didakwa memfitnahnya menerusi rakaman dua video yang dimuat naik di TikTok minggu lalu.

Aktivis Zurdi Baharu berkata walaupun dia tidak bersetuju dengan bahasa kasar yang digunakan lelaki berkenaan terhadap Ramli, timbalan speaker itu sepatutnya berjiwa besar dengan tidak membuat laporan polis.

"Jika dalam Dewan Rakyat Parlimen YB boleh dengan penuh budi bicara bagi ruang dan peluang agar pihak Pembangkang menarik balik kenyataan berunsur fitnah, moga YB juga boleh dengan budi bicara bertolak ansur dengan sesama suku bangsamu.

"Cegah 3R untuk perpaduan dengan menyantuni, bukan untuk merendahkan lagi martabat suku bangsa OA yang jauh masih lemah ini dengan hukuman sebagai pengajaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Ramli merupakan satu-satunya wakil rakyat dalam kalangan masyarakat Orang Asli di parlimen.

Sementara itu, Zurdi turut meminta timbalan speaker mendekati akar umbi Orang Asli yang menurutnya masih belum memahami agenda Ramli untuk masyarakat mereka, termasuk rancangan menambah baik Akta Orang Asli 1954 melalui pindaan perlembagaan.

"Agenda ini sudah pasti masyarakat Orang Asli mungkin tersalah tafsir jika YB tidak selami, dekati dan jiwai kehendak serta luahan suku bangsamu yang tidak sepakar dan segah dirimu," katanya.

Semalam, timbalan speaker berkata dia telah membuat laporan polis terhadap seorang lelaki, yang didakwanya mencemarkan nama baiknya sebagai ahli parlimen Orang Asli.

Ramli dilaporkan berkata laporan itu dibuat di balai polis Sentul di bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua peruntukan itu menjenayahkan penghinaan yang disengajakan yang mencetuskan pecah keamanan, serta kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dengan niat untuk menghasut.

Ramli berkata dia juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akaun TikTok itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen