malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HRD Corp ancam saman The Edge - isu laporan PAC, ketua audit
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 4:58 PM
Dikemaskini: 9:00 AM
ADS

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengancam tindakan undang-undang terhadap Edge Communications Sdn Bhd dan salah seorang penulisnya berhubung laporan akhbar perniagaan itu mengenai penemuan umum Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan ketua audit negara mengenai agensi itu.

Menurut The Edge, surat tuntutan itu dihantar bagi pihak agensi oleh firma guaman Amrit & Company.

Antara lain, surat itu mendakwa syarikat media berkenaan telah "menerbitkan secara tidak adil, sengaja, berniat jahat, melulu dan dengan niat jahat salah memetik, mensensasikan dan menyalahtafsir penemuan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara" dalam dua artikelnya, yang membawa tajuk utama: 'PAC flags dubious property deals by HRD Corp' dan 'Frankly Speaking: Total breach of governance at HRD Corp'.

Artikel pertama, yang diterbitkan pada 4 Julai, melaporkan beberapa urus niaga hartanah yang meragukan di HRD Corp, yang telah ditandakan oleh PAC. Ini termasuk pembelian bangunan bernilai RM154 juta tanpa kelulusan lembaga pengarahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit The Edge Media Group Ho Kay Tat.

Selain memetik laporan PAC mengenai perkara itu, laporan The Edge juga memetik Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin yang berkata tidak ada proses standard prosedur yang konsisten untuk kelulusan pemerolehan hartanah oleh HRD Corp dan lembaga pengarah HRD Corp tidak diberikan dokumen lengkap untuk beberapa transaksi pembelian hartanah.

Sementara itu, artikel kedua diterbitkan setiap minggu dari 8 hingga 14 Julai. Ia membincangkan bagaimana HRD Corp telah disiasat atas pelaburan yang boleh dipersoalkan dan pembelian hartanah, berdasarkan penemuan dan kesimpulan kedua-dua PAC dan Laporan Ketua Audin Negara (LKAN) dan apakah beberapa urus niaga yang terbabit.

Menurut laporan The Edge, surat tuntutan itu mendakwa laporannya direka untuk memburukkan HRD Corp dan pegawainya dan telah mendedahkan agensi itu, serta pegawai dan pekerjanya kepada "odium, cemuhan, penghinaan dan skandal awam yang sudah pasti telah mencemarkan reputasi profesional HRD Corp" dan pegawai dan pekerja yang dilantik.

Surat itu juga mendakwa artikel tersebut mencadangkan HRD Corp telah gagal dalam auditnya, menyalahgunakan dana, membuat keputusan yang tidak mengikut prosedur dan tidak melindungi kepentingannya sendiri untuk mencapai objektifnya.

"Pelanggan kami menyatakan bahawa kenyataan (laporan) yang disangkal adalah palsu, tersasar dan mengelirukan," kata firma guaman itu, sambil menambah laporan berkenaan dibuat tanpa pengesahan dengan HRD Corp.

Pelaburan dibuat ikut peraturan

HRD Corp mendakwa semua pelaburannya telah dilaksanakan oleh panel pelaburannya mengikut Akta Dana Pembangunan Sumber Manusia 2001 serta didokumenkan dan direkodkan mengikut prosedur standard yang diperlukan dan tadbir urus yang baik.

Menurut agensi itu lagi, panel pelaburannya tidak terikat untuk melaporkan keputusan pelaburannya kepada lembaga pengarah, ia tidak melanggar sebarang peraturan tadbir urus dan tidak terlibat dalam jenayah dan/atau amalan rasuah.

HRD Corp meminta agar artikel tersebut dikeluarkan, serta permohonan maaf bertulis rasmi untuk diterbitkan dalam dua akhbar harian Inggeris dan laman web The Edge sendiri dalam tempoh 48 jam dari tarikh surat itu. Ia juga mahukan ganti rugi untuk kerugian yang didakwa ditanggungnya.

Sementara itu, The Edge tetap dengan artikelnya dan berikrar untuk mempertahankan sebarang saman yang mungkin dihadapinya daripada HRD Corp mengenai perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit The Edge Media Group Ho Kay Tat menegaskan isu yang menyelubungi HRD Corp adalah kepentingan awam kerana ia melibatkan wang kepunyaan majikan dan pekerja negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen