malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Isu subsidi diesel diakui beri kesan Cina keluar undi rendah'
ADS

TINJAUAN | Apabila PH tewas di Sungai Bakap, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menunjukkan peratusan keluar mengundi bukan Melayu yang rendah sebagai punca utama, sambil menolak kesan rasionalisasi subsidi diesel.

Bagaimanapun, tinjauan jalanan di kalangan pengundi Cina di kerusi DUN Pulau Pinang menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya di kalangan beberapa anak muda komuniti itu, terdapat perkaitan antara kedua-dua faktor itu.

Seorang pemuda berusia 28 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Liu berkata walaupun dia sendiri mengundi, ramai rakannya memilih bekerja pada hari itu berbanding melaksanakan tugas demokrasi mereka.

Ditanya jika ini ada kaitan dengan rasionalisasi subsidi diesel, dia mengakui hal itu.

“Saya percaya pemansuhan subsidi diesel boleh menjadi satu sebab mengapa masyarakat Cina teragak-agak untuk mengundi,” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi pengundi berusia 20 tahun yang enggan dinamakan, menyuarakan pendapat yang sama berkata ia ditambah lagi dengan rasa kecewa terhadap mereka yang berkuasa.

"Ya, saya rasa ketidakpuasan hati dengan penghapusan subsidi bahan api dan kerajaan persekutuan, dan kemarahan terhadap kerajaan tempatan, boleh menjadi punca," katanya.

Ketidakpuasan hati terhadap prestasi PH dala kerajaan tidak terhad kepada golongan anak muda.

Seorang pengundi berusia 50 tahun yang juga enggan namanya disiarkan berkata terdapat sentimen PH terlalu menaburkan janji-janji dan tidak menunaikannya.

“Ia mungkin kerana komitmen berlebihan Anwar Ibrahim semasa pilihan raya umum 2022 dan orang ramai tidak melihat kesan serta-merta kerja beliau.

“Seperkara lagi, DAP telah memerintah Pulau Pinang sejak 2008, tetapi saya fikir terdapat sikap berat sebelah terhadap Pulau Pinang, mengambil sumber dari tanah besar tanpa mengembalikan apa yang rakyat tanah besar layak, seperti gangguan bekalan air di Sungai Bakap,” katanya.

Pada Mei, Putrajaya telah menjadi perantara projek RM4 bilion untuk Perak membekalkan air ke Pulau Pinang, yang akan menampung kawasan termasuk Sungai Bakap.

Pengundi Cina membentuk anggaran 23 peratus daripada pengundi Sungai Bakap manakala 17 peratus lagi pengundi India dan 59 peratus Melayu.

Rafizi menganggarkan hanya 47 peratus pengundi Cina membuang undi semasa pilihan raya kecil itu, manakala pengundi India pula pada 58 peratus.

Semua yang bercakap dengan Malaysiakini berkata mereka sendiri mengundi semasa hari pengundian, walaupun tidak ramai yang seperti mereka.

“Ya, orang Cina tidak keluar mengundi, tetapi kekalahan itu bukan di luar jangkaan. Saya rasa ia sudah dijangka kerana kawasan itu kebanyakan pengundinya orang Melayu,” kata seorang ejen jualan berusia 45 tahun.

Konsensus di kalangan pakar dan pemerhati ialah peratusan keluar mengundi bukan Melayu lebih rendah kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan Madani pimpinan PH di Putrajaya.

Bagaimanapun, kedua-dua Liu dan responden berusia 50 tahun itu percaya PH masih perlu diberi peluang.

Liu berkata keputusan yang dijangkakan oleh orang ramai untuk disampaikan akan mengambil masa.

“Kerajaan masih baru dan rakyat memerlukan masa untuk melihat keputusan di bawah kerajaan PH. Bagaimanapun, generasi tua mungkin tidak berfikiran begitu,” katanya.

Seorang lagi responden yang lebih tua pula berkata PH masih merupakan pilihan terbaik yang ada.

“Saya tetap optimis mengenai kerajaan baru. Saya percaya PH masih parti terbaik untuk mentadbir negara kerana mereka mempunyai visi yang lebih jauh berbanding parti pembangkang,” katanya.

Sementara itu, selain sentimen prestasi dan dasar kerajaan Liu mendakwa mungkin ada faktor lain yang menghalang pengundi Cina, iaitu ketakutan.

“Menjelang hari mengundi, terdapat ramai pegawai tentera dan polis di sekeliling, dan sekatan jalan raya.

"Saya percaya ini boleh menjadi salah satu sebab mengapa orang Cina tidak keluar mengundi, kerana bimbang kemungkinan berlaku rusuhan," dakwa lelaki berusia 28 tahun itu.

Sebelum ini, selepas pilihan raya umum ke-15, terdapat peningkatan dalam retorik perkauman dengan ancaman rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang digembar-gemburkan.

Pada hari pemilihan 19 Nov itu sendiri, kumpulan yang dipercayai penyokong PN turut menayangkan video menunggang kuda di Kubang Semang, Seberang Perai sambil mengibarkan bendera dengan kalimah syahadah.

Di dalam talian, tercetus perbandingan dengan imej Taliban.

Kubang Semang terletak hanya 40 minit jarak pemanduan dari Sungai Bakap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen