Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-Ada) mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membayar pampasan kepada ahlinya yang didakwa dikasari di pintu masuk Parlimen hari ini.
Pengerusinya Ng Yap Hwa berkata pihaknya menuntut pampasan untuk rawatan perubatan dan kerosakan rantai milik salah seorang ahlinya.
"Polis merenggut kolar baju seorang jawatankuasa penganjur wanita, dan walaupun dia dicekik, mereka tak lepaskannya untuk satu tempoh masa yang lama.
"Ini menyebabkan rantainya putus dan meninggalkan kesan di lehernya," dakwa Ng.

Insiden bermula selepas polis menyekat kumpulan itu - yang diketuai adik Beng Hock, Lee Lan - dengan membuat rantaian manusia kira-kira 100 meter sebelum pagar parlimen.
Kumpulan itu pada mulanya mengadakan perarakan bagi mengenang mendiang Beng Hock, yang meninggal dunia ketika di bawah tahanan SPRM pada 16 Julai 3009.
Dalam pada itu, Ng mendakwa beberapa peserta turut ditolak dan jatuh ketika pertembungan berlaku.
Katanya lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang atas apa yang berlaku.
"Kami terkejut apabila kerajaan yang dipimpin reformis, yang memulakan perjuangan mereka di jalan raya, mengizinkan keganasan terhadap peserta himpunan aman hari ini," katanya.

