Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) membantah saranan bekas presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Nur Nazirah Abdullah supaya mewajibkan ujian HIV kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi.
Umany berkata walaupun mereka memahami hasrat Nazirah untuk menangani peningkatan jumlah kes HIV di kampus, mereka percaya ujian perlu dilakukan secara sukarela, bukan mandatori.
"Salah satu daripada empat prinsip asas etika perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk 'menghormati autonomi,' yang menekankan profesional penjagaan kesihatan mesti menghormati maruah dan autonomi pesakit dalam amalan mereka.
"Memaksa pelajar menjalani ujian melanggar etika perubatan dan menjejaskan autonomi asas pelajar," kata kumpulan itu.

Ia memetik garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai 'Pengujian dan Kaunseling HIV' yang turut menekankan saringan HIV mestilah secara sukarela dan berdasarkan persetujuan bermaklumat daripada individu tersebut.
“Lebih-lebih lagi, Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) telah memberi amaran tegas bahawa langkah pencegahan HIV secara paksaan bukan sahaja melanggar hak asasi manusia tetapi juga mengurangkan penyertaan awam dan memburukkan lagi diskriminasi terhadap individu berisiko tinggi, akhirnya menjadi tidak produktif,” tambah Umany.
Kumpulan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai keberkesanan saringan HIV mandatori dalam menyelesaikan masalah peningkatan kes HIV.
Umany berkata menurut WHO, keberkesanan dasar ini sangat terhad dan ia menekankan kepentingan menangani punca utama peningkatan kes HIV iaitu stigma HIV dan kekurangan pendidikan seks.

“Bolehkah saringan HIV mandatori benar-benar menyelesaikan masalah peningkatan kes HIV di kampus kita?
"Jawapannya berkemungkinan negatif, kerana WHO telah jelas menunjukkan bahawa keberkesanan ujian mandatori adalah sangat terhad.
"Untuk menangani penularan HIV, kita perlu menangani punca utama keengganan orang ramai untuk menjalani ujian atau rawatan—stigma HIV dan kekurangan pendidikan seks," katanya.
Kumpulan siswa itu juga berkata berdasarkan laporan UNAIDS, di kawasan yang mempunyai stigma HIV yang teruk, orang ramai dua kali lebih berkemungkinan untuk mengelakkan rawatan di hospital untuk HIV berbanding kawasan tanpa diskriminasi.
“Ini menunjukkan bahawa mendidik orang ramai untuk membetulkan stereotaip negatif mengenai pesakit HIV dan mewujudkan persekitaran bebas diskriminasi adalah pendekatan yang betul.
“Tambahan pula, penularan HIV dalam kalangan remaja berkait rapat dengan kurangnya pendidikan seks,” kata kumpulan itu.
Bukan baru dah lama - menteri
Selasa lalu, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia Dr Dinesh Mahalingam melahirkan kebimbangan mengenai pengetahuan seksual yang tidak mencukupi dalam kalangan remaja mengatakan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara yang agak konservatif, masih menganggap 'seks' sebagai subjek pantang-larang.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir berkata saringan kesihatan termasuk ujian HIV untuk pelajar baru, telah diamalkan sejak sekian lama.
"Itu telah lama dilakukan cuma mungkin kali ini diuar-uarkan disebabkan perbahasan di peringkat Parlimen yang bertanya dari segi jumlah bilangan (kes HIV dalam kalangan pelajar) dan sebagainya.
"Proses pemeriksaan kesihatan itu dibuat dari segi perubatan, jadi ia bukanlah sesuatu yang baru," katanya.
Umany melahirkan kebimbangan bahawa pelajar akan kehilangan autonomi mereka dalam perkara lain jika universiti melaksanakan dasar ini.
Ia menyeru mahasiswa untuk bersatu dan menentang dasar ini sebagai langkah untuk melindungi kesucian demokrasi Universiti Malaya.
“Mengenai saranan Nur Nazirah, jika universiti memang melaksanakan saringan HIV mandatori dan kita membenarkan universiti melangkaui persetujuan dan autonomi pelajar dengan berselindung, sejauh manakah kita membenarkan mahasiswar mempunyai autonomi sebenar?
“Oleh itu, Umany menyeru pelajar universiti untuk berdiri bersama-sama dan menentang dasar tidak munasabah yang melanggar autonomi pelajar, sama ada tapisan wajib atau Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang menindas sejak sekian lama, untuk melindungi kesucian demokrasi kampus kita," kata Umany.

