malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan Azizi halang PRK Nenggiri didengar pada 7 Ogos
ADS

Permohonan injunksi penuh yang difailkan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim bagi menghalang pilihan raya kecil akan datang di kerusi DUN itu akan didengar pada 7 Ogos, iaitu semasa pilihan raya negeri.

Malaysiakini difahamkan bahawa pendengaran itu pada mulanya dijadualkan pada 28 Ogos.

Bercakap pada sidang media di prlimen hari ini, Azizi – yang juga ahli parlimen Gua Musang – berkata dia akan memperjuangkan haknya di mahkamah.

Dakwanya, cara Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Abdullah membuat keputusan mengosongkan kerusinya berbeza dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

"Sebab proses untuk kita dapatkan result daripada speaker Dewan Rakyat amat teliti.

"Ada dokumen surat menyurat tetapi di peringkat negeri kita tidak diberi apa-apa notis sehinggalah kita dapat tahu daripada media speaker negeri mengosongkan kerusi saya di peringkat negeri.

"Jadi kita haraplah dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan barisan peguam dan juga keabsahan dan keadilan di peringkat High Court untuk memastikan hak saya dimuktamadkan,” kata Azizi.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi ad-interim oleh Azizi, yang memohon perintah sekatan sementara untuk mengekalkan status quo antara pihak, sementara menunggu pelupusan tuntutan mahkamahnya mencabar kesahihan pemberhentian keahlian partinya yang menyebabkan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan dikosongkan.

Dia memohon perisytiharan mahkamah bahawa artikel 10.5 dibaca dengan 10.4 dan 10.6 perlembagaan Bersatu melanggar hak perlembagaannya untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan kebebasan berpersatuan.

Azizi berhujah pemberhentiannya sebagai ahli Bersatu tidak sah dan pengisytiharan speaker Kelantan bahawa Nenggiri dikosongkan adalah terbatal dan tidak sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 17 Ogos sebagai hari pengundian, 3 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Azizi antara tujuh ahli parlimen Bersatu yang diberhentikan keahliannya kerana menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbiran Madani.

Selain Azizi, mereka yang dihenti keahlian Bersatu ialah Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi, Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari.

Azizi bertanding di bawah panji PAS untuk gabungan PN pada pilihan raya umum lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen