malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Susulan bantahan Raja Perlis, PM kata RUU Mufti akan dirujuk ke Majlis Raja-Raja
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM
ADS

Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) sedang dibincangkan dan akhirnya akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU itu.

“Saya serah kepada pakar, dan kemudian akan dirujuk ke Majlis Raja-Raja,” katanyakepada pemberita selepas Forum Global Madani di Kuala Lumpur hari ini.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

RUU itu - yang hanya berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan - antara lain, mentakrifkan dengan jelas apa yang dimaksudkan sebagai ahli Sunnah Sunnah Wal Jamaah atau seorang Muslim yang mengamalkan ajaran Sunni Islam..

Ia juga mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain serta ajaran kerohanian Imam Ghazali dan Imam Junaid.

Bagaimanapun Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menentang definisi sedemikian yang menurutnya sebagai cubaan menyekat kebebasan berfikir akademik.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata tidak ada pertikaian berhubung perkara tersebut.

“Tak ada pertikaian soal Sunnah Wal Jamaah, Shafie, Maliki, Hambali dan pandangan-pandangan lain.

Cuma kadang kala perincian itu ada dibincang,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti antaranya memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen