malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tumpu rampas kerusi PN bukan sesama parti k'jaan - DAP
Diterbitkan:  Jul 8, 2024 6:51 PM
Dikemaskini: 12:41 PM
ADS

Setiausaha DAP Pahang Lee Chin Chen melahirkan harapan agar BN dan PH memberi tumpuan kepada kerusi yang dikuasai PN pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16) berbanding kerusi yang dimenangi anggota Kerajaan Perpaduan yang lain.

“Saya berharap pemimpin BN dan PH di semua peringkat akan menyatukan kerusi yang telah dimenangi dan fokus untuk memenangi kerusi yang dimenangi PN pada pilihan raya umum lalu.

"Ini akan mengukuhkan kerajaan pusat dan negeri gabungan perpaduan dan bukan menginginkan kerusi parti anggota Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Malaysiakini.

Lee memetik kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan BN dan PH akan bekerjasama pada PRU16 dan tidak akan bertanding di kerusi yang telah dimenangi oleh PH.

Sementara itu Lee berkata rundingan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu dilakukan melalui saluran dalaman dan bukan secara terbuka.

"Lebih-lebih lagi, rundingan kerusi sentiasa dilakukan oleh pemimpin peringkat pusat.

“Dengan baki tiga tahun lagi sehingga pilihan raya umum akan datang, adalah terlalu awal untuk membincangkan rundingan kerusi," katanya.

Lee merujuk ucapan pemangku ketua Umno Bahagian Bentong Mohamad Zaini Salleh (gambar bawah) yang mengatakan pihaknya akan meminta untuk bertanding di kerusi DUN Ketari pada PRU16.

Ini kerana kerusi itu, yang kini disandang oleh Thomas Su dari DAP, terletak di kawasan majoriti Melayu, kata Zaini.

Bagaimanapun, Lee berkata DAP telah memegang kerusi itu sejak 2013.

“Ini bukan sahaja membuktikan DAP adalah parti berbilang kaum tetapi juga menunjukkan DAP mendapat sokongan pengundi tempatan.

“Oleh itu, menjadikan penduduk Melayu sebagai alasan untuk menuntut kerusi itu adalah tidak berasas,” katanya.

Terdahulu Zaini Salleh berkata calon BN Amizar Abu Adam cuma kalah tipis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), katanya.

Amizar Abu Adam menang PRK DUN Pelangai.

"Kita akan buat tuntutan secara rasmi agar DUN Ketari diberikan kepada Umno untuk pilihan raya umum akan datang. Ini kerana kita ada justifikasi pada PRU15, kita Umno bertanding dan kita hanya kalah 120 undi.

"Kita akan memohon pertimbangan pihak parti khususnya pimpinan BN pusat dan negeri agar memutuskan kerusi Ketari (diberikan) kepada Umno," kata Zaini, petik laporan Sinar Harian.

Dia menyuarakan tuntutan itu ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong di Pahang hari ini.

Pada PRU15, Su (gambar bawah) menang kerusi itu dengan 9,722 undi menentang Amizar dan William Tan dari PN.

Zaini berkata Umno mempunyai beberapa individu berwibawa yang boleh bertanding di kerusi Ketari.

Dia turut menyebut seorang calon yang tidak dinamakan sebagai calon berpotensi diletakkan bertanding pada PRU16.

"Calon tersebut amat mesra dan dikenali penduduk setempat serta merupakan anak Ketari," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu Umno Bentong sentiasa menjalankan kerja-kerja mendekati pengundi dan masyarakat.

Antaranya, dengan melancarkan jentera laskar siber Umno Tentera Alam Maya (Tamu), dalam usaha menangani cabaran semasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen