PRK SG BAKAP | Tinggal hanya beberapa jam sebelum tempoh kempen berakhir dan pengundi akan menggunakan kuasa mereka untuk memilih, persaingan di antara PN dan PH-BN kekal sengit.
Menurut Ilham Centre kedua-dua parti mempunyai peluang seimbang untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.
Namun pengundi daripada masyarakat Cina dilihat bakal menjadi penentu sama ada Joohari Ariffin atau Abidin Ismail yang akhirnya nanti diangkat sebagai Adun baru.
"Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN andainya perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.
"Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini," kata firma kaji selidik itu petang ini.
Pada masa sama Ilham Centre juga mendapati kesan 'gelombang hijau' yang banyak membantu PN memenangi kerusi pada PRU dan PRN lalu kini semakin reda.
Kata Ilham Centre, kemuncak 'gelombang hijau' terjadi semasa PRN lalu dan semakin merosot di Sungai Bakap.
"Aura yang terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat semasa PRU ke-15 dan PRN 2023.
"Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R (raja, kaum dan agama) ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya.
"Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda," kata Ilham Centre.
Joohari dapat kredit besar
Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil kali ini serta sikap, tingkah laku dan kecenderungan pengundi, Ilham Centre berkata, membuat kajian lapangan secara dua fasa.
Pertama, katanya, semasa pertengahan tempoh kempen, diikuti dengan pertengahan minggu kedua hingga ke penghujungnya.
Dapatan tersebut, tambah firma berkenaan, dikumpulkan melalui pemerhatian ikut serta, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus.
Responden pula katanya terdiri daripada penduduk setempat, pengundi, jentera parti, pemimpin parti serta pemimpin komuniti dan masyarakat.

Laporan Ilham Centre hari ini menyentuh beberapa aspek bagi menjelaskan gambaran yang didapati daripada pemerhatian mereka.
Mengenai calon, firma berkenaan mendapati orang ramai memberikan kredit yang besar kepada Joohari ekoran latar akademik dan kerjayanya yang membolehkan dia menerima perspektif yang baik.
"Pada masa sama calon PH ini itu memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi.
"Aset paling besar Cikgu Joo (Joohari) ialah kerjaya beliau sebagai guru menyebabkan beliau dikenali ramai termasuk oleh bekas murid beliau.
"Dalam temu bual kami, ramai bekas murid memberi penghormatan tinggi kepada beliau walaupun bekas murid tersebut adalah penyokong PN," katanya.
Sebagai bandingan, Abidin pula tidak dapat menandingi kelayakan akademik, latar belakang kerjaya dan kemahiran komunikasi Joohari,
Namun pada masa sama, kata Ilham Centre, Abidin dikenali dengan baik dalam kalangan pengundi dan ia banyak dipengaruhi oleh faktor dia merupakan anak tempatan, selain bertugas membantu Adun terdahulu,
"Tinjauan kami di Sungai Duri sebagai contoh, beliau sangat popular di PDM (pusat daerah mengundi) itu khususnya anak-anak kariah Masjid Sungai Duri," katanya.
Sebahagian pengundi tak lagi ghairah
Turut mendapat perhatian Ilham Centre ialah faktor pengundi BN dan kemungkinan mereka menyumbang kepada kemenangan Joohari.
Kata firma penyelidikan itu, gelombang hijau sebelum ini membawa sebahagian ahli Umno mengundi PN namun keadaan kini didapati mula berubah.
"Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya, namun pada masa sama mereka tidak menunjukkan sokongan kepada PH," katanya.
Pun begitu Ilham Centre mendapati Umno menggerakkan jentera kempen yang kuat dan bersistematik untuk menyantuni pengundi teras terbabit untuk berunding dan memujuk mereka.
"Tinjauan kami terhadap pengundi teras Umno menunjukkan sebahagian mereka masih akan menyokong PN namun sebahagian lagi masih dalam dilema dan masih berkira-kira (untuk mengundi PH).
"Walau apa pun keputusan mereka nanti, pendekatan Umno untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima," katanya.

Mengenai pengundi bukan Melayu, Ilham Centre berkata PH tidak lagi boleh berharap kepada masyarakat Cina seperti beberapa pilihan raya lalu.
Hal itu kerana Ilham Centre mereka tidak begitu ghairah memberikan sokongan kepada Joohari dan kerajaan kesan daripada beberapa polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.
"Sebahagian pengundi Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja.
"Namun senario ini tidak berlaku secara blok kerana sebahagian lagi pengundi Cina tetap memberi komitmen untuk keluar mengundi," katanya.

Mengenai pengundi India pula, Ilham Centre mendapati pola sokongan kepada PH-BN masih kekal seperti PRN tahun lalu.
Mereka juga, katanya, memberi maklum balas yang agak meriah kepada kempen parti kerajaan dengan keluar mendengar ceramah yang dianjurkan, selain terlibat dalam aktiviti yang diadakan.
Isu tempatan lebih menonjol
Sementara itu Ilham Centre mendapati pola sokongan pengundi muda juga sudah berubah berbanding sewaktu PRN Pulau Pinang diadakan pada 2023.
"Walaupun pemerhatian menunjukkan mood sokongan pengundi muda masih kuat terhadap PN, namun kekuatannya mula berkurang dan tidak sekuat sewaktu gelombang hijau berada di puncak.
"Anak-anak muda yang dulu ghairah mempamerkan sokongan kepada PN, sekarang sudah tidak sekuat itu. Bahkan sebahagian pengundi muda mula tidak segan silu untuk bergaya dengan T-shirt gabungan parti perpaduan, lepak berbual di sana sini.
"Ia situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas," katanya.
Sementara itu Ilham Centre orang ramai tidak begitu teruja untuk mengundi kerana sedar apa pun keputusannya nanti, kerajaan negeri tidak akan berubah.
Faktor pilihan raya yang kerap di Sungai Bakap (sebelum ini PRU ke-15 dan PRN 2023) juga memberi kesan.
"Namun cuti yang agak panjang hujung minggu ini di Pulau Pinang sedikit sebanyak masih memberi harapan untuk pengundi luar yang berada di sekitarnya untuk pulang mengundi sambil bercuti bersama keluarga," katanya.
Isu yang lebih menangkap perhatian pengundi setempat pula, kata Ilham Centre, melibatkan hal-hal setempat berbanding nasional. Misalnya isu penyasaran subsidi diesel dan BlackRock yang tidak meletus seperti dijangka.
"Pengundi lebih fokus terhadap isu tempatan yang terkait secara langsung dengan kehidupan seharian mereka.
"Antara banyak yang ditimbulkan oleh pengundi seperti gangguan bekalan air, kenaikan tarif air, kemudahan infrastruktur, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup," katanya.

