PARLIMEN | Cadangan pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) membolehkan kerajaan bertindak terhadap pemilik "akaun keldai".
Azlina Othman Said (BN- Pengerang) berkata, pindaan yang bertujuan untuk menangani penipuan dalam talian itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Okt nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, pindaan berkenaan mempertimbangkan untuk mewujudkan kesalahan baru terhadap pihak yang membenarkan akaun banknya digunakan pihak lain sebagai transit kegiatan penipuan dalam talian.
"Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Tata Cara Jenayah Akta 593 bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian berkaitan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan.
“Dalam hal ini cadangan pindaan yang dipertimbangkan mewujudkan kesalahan baru berkaitan mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan orang lain tapi kuasa yang sah bagi tujuan sah bagi menangani isu keldai serta memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan penyitaan bank yang disyaki terlibat dengan jenayah siber,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di parlimen pagi ini.
Jelas Azalina perundangan yang sedia ada tidak membenarkan pihak polis menyekat pergerakan wang mangsa menerusi akaun keldai yang digunakan.
Katanya, pindaan dicadangkan itu penting bagi menuntup kelompangan dalam aspek perudangan serta melindungi segenap lapisan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan.
Terdahulu RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan pertanyaan berhubung status penggubalan perundangan berkenaan kesalahan berhubung dengan akaun keldai serta bagaimanakah perundangan tersebut dapat menangani peningkatan penipuan kewangan dalam talian.
Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian ataupun scam menggunakan akaun keldai bagi mengelak dalangnya dikesan pihak berkuasa.
Katanya, dengan ketiadaan peruntukan undang-undang terhadap perkara itu, ia menyukarkan siasatan dilakukan pihak polis.
Sementara itu Azalina berkata, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang direkodkan akibat penipuan dalam talian untuk tempoh 2022 sehingga Jun lalu.
“Terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan sebanyak 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 juta kepada (lebih) RM1 bilion bagi 2023, kerugian bagi tahun 2024 pula (melebihi) RM581 juta," katanya.
Tambah Azalina lagi, cadangan pindaan undang-undang itu akan membenarkan pihak polis untuk menghalang wang mangsa penipuan jenayah berkenaan daripada dikeluarkan atau digunakan.

