Jabatan Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam auditnya.
"Kementerian perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan," tegas Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diterbitkan hari ini.

Antara lain, ketua audit mendapati salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.
Sebagai contoh, seramai 3,726 peserta mengikuti latihan melebihi sekali bawah skim yang sama melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta.
Seain itu, sebanyak 234 permohonan bagi Skim Gerak Insan Gemilang meragukan kerana mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang sama berulang kali.
"Secara keseluruhannya, amalan tadbir urus korporat HRD Corp adalah tidak memuaskan.
"Terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan PSMB dalam mencapai fungsi penubuhannya," kata laporan Ketua Audit Negara.
Skop audit adalah dari 2019 hingga 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp sejak 2020 ialah Shahul Hameed Sheikh Dawood.

