malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
2 saintis muda M’sia ke mesyuarat Hadiah Nobel  di Jerman
Diterbitkan:  Jun 28, 2024 5:00 PM
Dikemaskini: 9:32 AM
ADS

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menghantar dua saintis muda bagi mewakili negara dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 yang didedikasikan untuk Fizik di Lindau, Jerman pada 30 Jun hingga 5 Julai ini. 

MOSTI dalam kenyataan hari ini memaklumkan Nur Alia Sheh Omar (atas), 33, dan Tang Jia Heak, 21, yang mewakili Malaysi akan menyertai lebih 600 saintis muda cemerlang dari 90 negara untuk berinteraksi serta bertemu dengan sekurang-kurangnya 30 Pemenang Anugerah Nobel.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 akan memberi tumpuan kepada tiga tema utama iaitu fizik kuantum dan teknologi kuantum, penyelesaian berasaskan fizik untuk cabaran tenaga dan kecerdasan buatan dalam fizik.

“Mesyuarat ini bakal menawarkan peluang unik kepada kesemua saintis di peringkat awal kerjaya yang cemerlang untuk membentangkan penyelidikan mereka, saling bertukar pengalaman dan idea serta mendapatkan inspirasi daripada rakan sebaya dan Pemenang Anugerah Nobel,” menurut kenyataan itu. 

Dalam kenyataaan sama, Nur Alia yang merupakan Felo Penyelidik di Aston University, United Kingdom berharap dengan penyertaan beliau dalam mesyuarat Nobel Laureate ke -73 itu, ia dapat meluaskan pengetahuannya sekali gus dapat membawa pulang inspirasi dan idea baharu.

“Saya amat berbangga dan bersyukur kerana dipilih untuk mewakili Malaysia dan Aston University, United Kingdom untuk ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau. Saya amat teruja untuk bertemu dan belajar daripada Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Fizik serta saintis muda dari seluruh dunia,” katanya. 

Nur Alia menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Ijazah Sarjana Sains Bahan Lanjutan diikuti Doktor Falsafah (PhD) dalam Teknologi Penderiaan di Universiti Putra Malaysia, selain bidang keutamaannya seperti penderiaan optik resonans plasmon, nanomaterial sisa buangan dan sintesis hijau.

Tang yang merupakan Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Malaya berkata beliau sangat teruja kerana dipilih sebagai wakil negara dan akan memanfaatkan peluang tersebut untuk meluaskan pandangannya dan mempelajari topik-topik lanjutan dalam mesyuarat berkenaan. 

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Akademi Sains Malaysia (ASM) kerana merealisasikan perjalanan saya ke Jerman,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata penyertaan wakil negara dalam inisiatif sains dan teknologi di peringkat global itu penting untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa dan membawa pulang amalan dan pemahaman terkini.

“Ini membolehkan kita memperkasa kebolehan tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi berasaskan pengetahuan penting bagi pertumbuhan yang lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.

Presiden Akademik ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata dengan menyertai program berkenaan, Nur Alia dan Tang dapat menjadi rakan kongsi yang disegani dalam program kajian terkemuka di seluruh dunia. 

“ASM berharap program ini akan memberi kesan positif yang berkekalan kepada para peserta apabila mereka mampu menangani isu kritikal dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup masyarakat melalui kemajuan sains dan teknologi,” katanya.

Sejak 2004, Malaysia telah menghantar 86 saintis muda, termasuk wakil pada tahun ini, ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau menerusi MOSTI dan ASM.

Pada Oktober tahun lepas, Jawatankuasa Pemilihan ASM untuk Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 telah mengadakan sesi temu duga bagi menilai pemohon untuk tahun ini dan seramai 13 calon disenarai pendek dan disokong oleh Jawatankuasa Pemandu Anugerah serta dua wakil dipilih bagi mewakili Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen