malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mandiri Borneo kecam pengusiran paksa komuniti Bajau Laut
Diterbitkan:  Jun 10, 2024 11:05 AM
Dikemaskini: 3:05 AM
ADS

NGO Mandiri Borneo mengecam sekeras-kerasnya tindakan perobohan dan pengusiran paksa daripada pihak berkuasa terhadap Bajau Laut di Semporna, termasuk dakwaan rumah kamonuiti itu dibakar.

Pengarah Mandiri Borneo Wong Kueng Hui berkata perbuatan tidak berperikemanusiaan ini merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

”Malaysia sering kali mengutuk kekejaman yang berlaku di negara lain, namun menutup mata terhadap ketidakadilan yang berlaku di halaman sendiri.

“Mandiri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk pandang ke Borneo dan melihat sendiri bagaimana komuniti Bajau Laut ditindas di tanah air mereka sendiri,” kata Wong pada kenyataan media, semalam.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew mempertahankan tindakan itu.

Katanya, notis arahan pengosongan 273 rumah penempatan tanpa izin yang dibina di perairan Taman Marin Tun Sakaran itu diedarkan dari 2 hingga 4 Mei lalu.

Jelas Liew perkara itu dilaksanakan kerana faktor keselamatan di peringkat daerah, susulan insiden tembakan di Teluk Darvel (Kunak), selain kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi penempatan tanpa izin.

Pun begitu, Wong berkata tindakan kejam terhadap komuniti Bajau Laut, yang merupakan antara golongan termiskin di Sabah, mendedahkan kepura-puraan kerajaan dan janji perdana menteri untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2024.

Dia juga menyoal jika tindakan ini langkah ’pembasmian kemiskinan’ yang dimaksudkan dengan pengusiran secara paksa dan perampasan tempat tinggal.

“Komuniti Bajau Laut telah mendiami perairan Sabah sejak zaman-berzaman, jauh sebelum wujudnya sempadan negara Malaysia.

“Namun, hak kewarganegaraan dan akses kepada keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan telah dinafikan secara sistematik kepada mereka.

“Kini, mereka diusir dari tanah air mereka sendiri," katanya.

Dia juga menyoal jika Malaysia berhasrat mengulangi tragedi kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di Myanmar di tanah air sendiri.

Justeru tambah Wong, Mandiri menuntut kerajaan melaksanakan lima perkara dalam menjamin keadilan terhadap komuniti Bajau Laut.

Katanya, kerajaan digesa menghentikan pengusiran, penyelesaian bermaruah, menangani isu kewarganegaraan, tanggungjawab pihak berkuasa atas kezaliman dan pendedahan data serta maklumat pengusiran secara telus dan terbuka.

“Konflik data ini menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan akauntabiliti pihak berkuasa.

“Mandiri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk membuka mata dan melihat kezaliman yang berlaku di Sabah.

“Kita tidak boleh berdiam diri sementara ketidakadilan terus berleluasa. Marilah kita bersatu hati dan bersolidariti dengan komuniti Bajau Laut, menuntut keadilan dan memastikan hak asasi mereka dihormati,” tegasnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen