Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menggesa kerajaan bertindak terhadap pendakwah kontroversi Firdaus Wong berhubung video yang menasihatkan seorang lelaki tentang cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.
Majlis antara agama itu berkata sebarang rancangan rahsia untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam adalah tidak bermoral, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
“MCCBCHST amat terkejut dengan rancangan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang untuk menukar agama di bawah umur dan sejak 10 tahun lalu secara lantang membangkitkan isu penukaran agama kepada kanak-kanak bawah umur tetapi tidak didengari oleh pihak berkuasa.
“Oleh itu MCCBCHST membuat gesaan terdesak kepada semua ahli parlimen termasuk menteri persekutuan untuk membangkitkan isu ini dalam kabinet dan memastikan rancangan tidak bermoral dan jahat menukar agama di bawah umur ini dihentikan serta-merta dan tindakan diambil terhadap Firdaus Wong.
"Jika seseorang itu ditukar daripada Islam kepada agama lain, kita boleh menjangkakan bantahan segera tetapi mengapa tidak dalam kes sedemikian?
“Tolong jangan menafikan perlindungan ibu bapa mereka sendiri semasa mereka masih di bawah umur dan tolong jangan musnahkan unit keluarga,” rayu MCCBCHST pada satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan MCCBCHST ditandatangani bersama oleh Presidennya Dao Zhang Tan Hoe Chieow, Naib Presiden Archbishop Julian Leow Beng Kim, Naib Presiden Chuan Yuan, Naib Presiden Ganesh Babu Rao dan Naib Presiden Sardar Jagir Singh.
Kata mereka rancangan untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur bukan sahaja bertentangan dengan kebebasan asas Perlembagaan Persekutuan tetapi juga melanggar struktur asas perlembagaan.

"Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa "untuk maksud fasal (3), agama orang di bawah umur 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya.
"Dalam keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan Indira Gandhi A/P Mutho lwn Pengarah Jabatan Islam Perah dan 2 yang lain (2018) telah memutuskan bahawa untuk penukaran agama kanak-kanak bawah umur kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu mesti bersetuju.
"Maka pelan penukaran rahsia yang tidak bermoral, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan yang dicadangkan oleh Firdaus Wong dengan hanya melafazkan "Kalimah Syahadah" adalah terbatal ab-initio kerana tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan Perkara 12(4) kerana persetujuan ibu bapa tidak diperolehi.
"Dalam Islam, titik penukaran agama adalah pada bacaan "Kalimah Syahadah" dan bukan semasa pendaftaran.

"Malah, bukan sahaja persetujuan ibu bapa tidak diperolehi, rancangan jahat itu termasuk merahsiakan penukaran agama daripada pengetahuan ibu bapa," kata MCCBCHST.
Ia selepas pendakwah kontroversi Firdaus Wong memuat naik sebuah video di TikTok, yang memaparkan dia menasihati seorang lelaki tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.
Video di TikTok itu menunjukkan Firdaus terlibat dalam sesi soal jawab pada satu majlis.
Seorang lelaki, dipercayai juga seorang pendakwah agama, bertanya kepada Firdaus tentang apa yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.
Rahsiakan dari keluarga
Firdaus berkata remaja itu sepatutnya dialu-alukan untuk memeluk Islam tetapi pengislaman mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan.
Dia turut berkongsi nasihat tentang bagaimana remaja itu boleh mengamalkan Islam secara berhemah supaya mereka dapat merahsiakannya daripada orang lain.
Sehubungan itu, MCCBCHST berkata seseorang ibu bapa akan berasa kecewa apabila mengetahui pertukaran agama secara rahsia oleh anak mereka yang di bawah umur.
"Sekolah adalah tempat di mana ilmu disampaikan tetapi jika sekolah sendiri terlibat dengan amalan tidak bermoral seperti menukar agama kanak-kanak di bawah umur, maka tidak ada lagi tempat yang selamat untuk anak-anak kita," tambah MCCBCHST.
Ia juga memetik Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa "tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima arahan atau mengambil bahagian dalam upacara atau ibadat sesuatu agama selain daripada agamanya sendiri".
"Oleh itu, Firdaus Wong juga bercanggah dengan peruntukan perlembagaan ini.
"Bagi kanak-kanak di bawah umur, sebelum berdakwah tentang Islam kepada mereka, persetujuan ibu bapa perlu terlebih dahulu diperolehi," kata kumpulan itu.

