Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa syarat kelayakan untuk skim subsidi Budi Madani dilonggarkan.
Dia mendakwa syarat ketika ini akan mengecualikan ramai petani dan pekebun kecil.
Dia juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan subsidi pertanian di bawah Budi Madani, dengan menegaskan bahawa langkah sedemikian boleh menaikkan harga makanan atau penurunan dalam pengeluaran.
“Subsidi RM200 sebulan juga dianggap terlalu sedikit untuk pekebun kecil dan para petani kerana mereka bukan sahaja menggunakan diesel untuk pengangkutan sahaja, tetapi juga untuk pelbagai keperluan seperti jentera pengairan, generator dan pam.
"Sekiranya rasionalisasi subsidi diesel ini tetap dilaksanakan, ia sudah tentu akan meningkatkan kos operasi mereka, dan secara langsung menyumbang kepada kenaikan harga makanan, ataupun pengurangan pengeluaran.
"Memandangkan keterjaminan makanan dan harga makanan adalah isu penting, maka ia satu kesilapan besar untuk meletakkan sektor pertanian di bawah skim Budi Madani," kata Wee di Facebook.
Skim Budi Madani adalah subsidi kerajaan yang disasarkan kepada kumpulan yang layak, termasuk bantuan individu (Budi Individu), petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi), serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (My Subsidi Diesel).
Di bawah skim itu, lebih 30,000 petani dan penanam komoditi berskala kecil telah diluluskan untuk menerima subsidi tunai RM200, yang akan diagihkan melalui akaun bank mereka.
Menurut laman webnya, skim Budi Agro-Komoditi terbuka kepada individu atau organisasi yang mengusahakan kebun kecil, aktif menghasilkan tanaman makanan dan barangan, serta menjana nilai jualan produk pertanian tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000.
Wee mencadangkan bahawa sektor pertanian sebaliknya perlu dilindungi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0), dengan kriteria subsidi yang lebih longgar.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan bertegas dengan rancangan itu, subsidi perlu dinaikkan dan kriterianya dipinda.
“Syarat kelayakan juga haruslah memasukkan pemilik tunggal. Jumlah hasil tahunan harus diubah dari RM50,000 hingga RM300,000 kepada RM0 hingga RM1.5 juta," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali sebelum ini mengumumkan bahawa 23 kenderaan komersial yang layak adalah di bawah projek SKDS 2.0.

