malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penduduk barat AS berdepan suhu melampau akibat kubah haba
Diterbitkan:  Jun 5, 2024 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM
ADS

Penduduk di kawasan barat Amerika Syarikat kini bersiap siaga untuk berdepan suhu panas melampau, ekoran fenomena kubah haba yang melanda di kawasan itu minggu ini.

Ramalan cuaca menjangkakan suhu di California, Nevada, Utah dan Arizona boleh mencecah 40 darjah Celcius sebelum Jumaat ini, menurut laporan BBC hari ini.

Kubah haba adalah fenomena di mana kawasan bertekanan tinggi memerangkap haba ke arah permukaan bumi, menyebabkan ia menjadi panas. Ia kemudian menyebabkan suhu meningkat dan kekal tinggi.

Tekanan turut menghalang sistem cuaca lain untuk terbentuk, misalnya awan yang mendatangkan hujan yang boleh menurunkan tahap kepanasan.

Fenomena kubah haba yang melanda Loisiana dan Texas di Amerika Syarikat pada Jun 2023 menyebabkan 12 nyawa terkorban dan ratusan lagi menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan BBC lagi, suhu boleh mencecah 42.2 darjah Celcius di California - dari Sacramento hingga Bakersfield - manakala suhu di Phoenix, Las Vegas, Albuquerque dan Fresno diramal memecah rekod tertinggi.

Esok pula, amaran sama akan turut dikeluarkan melibatkan Las Vegas, Lake Havasu City, Arizona dan selatan Texas.

Cuaca dijangka di tahap terburuk pada Khamis ini, ekoran peningkatan haba yang melampau.

"Gelombang haba boleh membawa maut," menurut amaran yang dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Phoenix di Arizona pada Selasa.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar California pula meningatkan orang ramai, terutama pekerja yang terdedah kepada cuaca, warga emas dan kanak-kanak agar mengambil langkah berjaga-jaga.

Orang ramai turut dinasihatkan untuk minum lebih banyak air, tinggal dalam bilik yang dilengkapi penyaman udara dan mengenakan pakaian longgar.

Penduduk yang tinggal di sekitar Teluk California yang bercadang menangani cuaca panas dengan mandi di pantai pula diingatkan gelombang laut dari barat laut boleh menyebabkan ombak setinggi enam meter melanda pantai.

Pengunjung pantai dinasihatkan agar berjaga-jaga dengan ombak yang boleh menghanyutkan mereka ke tengah laut, manakala mereka yang kurang mahir berenang dinasihatkan agar tidak mandi di pantai sama sekali, menurut laporan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen