malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mara lahirkan lebih 60,000 usahawan, 68,000 peluang pekerjaan
Diterbitkan:  Jun 5, 2024 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM
ADS

Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah melahirkan lebih 60,000 usahawan yang mencipta 68,000 peluang pekerjaan setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Zulfikri Osman, berkata agensi itu menyediakan ekosistem keusahawan yang lengkap merangkumi pelbagai pembangunan antaranya modal insan dan kemudahan sokongan seperti pembiayaan premis perniagaan.

"Melalui inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Mara kepada usahawan khususnya wanita berjaya memperkasakan komuniti usahawan wanita serta meneroka pasaran domestik dan mampu membawa produk ke peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan sempena majlis penutup program Women In Search of Excellence (Wise) di Kangar.

Majlis penutup itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, semalam. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Zulfikri berkata program Wise bertemakan Memperkasa Wanita Dalam Perniagaan itu merupakan usahasama bersama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) sebagai antara agenda pemerkasaan usahawan wanita yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dia berkata 3,222 usahawan Perlis direkod mencatatkan hasil jualan kasar mencecah RM273.6 juta pada tahun lepas serta memberikan peluang pekerjaan kepada 1,950 orang di negeri itu.

"Setiap tahun semua usahawan di Perlis ada peningkatan pendapatan kerana Mara memberi pelbagai inisiatif, antaranya menyediakan 342 lot perniagaan untuk disewa dengan harga sangat kompetitif," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen