Lebih 3.2 juta hektar hutan semula jadi negara diancam penebangan hutan, kata pemerhati alam sekitar RimbaWatch.
Kkumpulan itu berkata analisisnya terhadap data konsesi pembalakan pada tahun lepas mendedahkan bahawa kawasan tanah itu terletak di dalam sempadan konsesi.
"3.2 juta hektar ini mewakili 16 peratus daripada baki litupan hutan kita. Jika penebangan hutan ini berlaku, litupan hutan Malaysia akan berkurangan di bawah 50 peratus dari kawasan daratan kita.
"(Ini) sekali gus menunjukkan kegagalan komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan.

"Keseluruhan 3.2 juta hektar penebangan hutan hampir bersamaan dengan kawasan sebesar Pahang, yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, atau 1,316 kali ganda saiz Kuala Lumpur," kata RimbaWatch.
Kumpulan itu mengeluarkan laporan tahunannya bertajuk 'Keadaan Hutan Hujan Malaysia 2024' hari ini, yang dikatakan mengumpul dan menganalisis semua data konsesi yang ada untuk menganggarkan penebangan hutan pada masa hadapan.
Pada 1992, Kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian pada Sidang Kemuncak Bumi PBB di Rio de Janeiro, Brazil untuk mengekalkan 50 peratus keluasan tanah Malaysia diliputi hutan.
Sementara itu, RimbaWatch berkata analisis datanya juga mendedahkan bahawa 2.4 juta hektar dari kawasan tanah tersebut berada di bawah ancaman penebangan hutan untuk memberi laluan kepada ladang hutan (kayu balak).

"Ancaman daripada ladang balak mewakili 76 peratus daripada keseluruhan ancaman terhadap hutan Malaysia, dengan ancaman lain termasuk projek kuasa hidro, penyahwartaan hutan simpan dan penanaman kelapa sawit."
Justeru, RimbaWatch menggesa kerajaan untuk segera menamatkan semua penukaran status hutan simpan untuk dijadikan ladang balak.
Malaysia juga perlu mengembangkan komitmen 50 peratus liputan hutannya, katanya.

