Tinjauan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati hampir semua klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara beroperasi dengan kekurangan kakitangan.
Dalam satu kenyataan, MMA berkata tinjauan ad hoc baru-baru ini yang dijalankan menerusi talian mendapati lebih separuh daripada klinik dan hospital berkenaan berdepan kekurangan doktor. Ia sama ada mereka berhenti atau dipindahkan.

Justeru, persatuan itu menyarankan Kementerian Kesihatan menangani isu tersebut termasuk dengan menjalankan kajian komprehensif yang telus. Antara lain, cadangan MMA adalah menaikkan gaji doktor supaya berdaya saing dengan rakan mereka di sektor swasta.
“Menurut keputusan tinjauan, hanya enam respons (lima peratus) menunjukkan mereka mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, manakala 36 respons (32 peratus) memerlukan tambahan sehingga 50 peratus tenaga kerja dan 51 (46 peratus) memerlukan tambahan sehingga 100 peratus.
"18 respons (16 peratus) memerlukan lebih daripada dua kali ganda bilangan doktor semasa untuk menyediakan perkhidmatan yang mencukupi. Terdapat 6 respons yang tidak pasti berapa ramai doktor yang mereka perlukan.
“Mengenai sebab kekurangan tenaga kerja, hampir separuh (48.3 peratus) daripada 117 responden dalam tinjauan ad hoc menyatakan bahawa doktor berhenti atau berpindah, manakala 34 yang lain (28.8 peratus) adalah kerana doktor berhenti dan hanya 16 (13.6 peratus) sahaja disebabkan pemindahan," kata kenyataan itu.

Selain masalah tenaga kerja, MMA berkata tinjauannya mendapati klinik dan hospital juga berdepan dengan masalah kemudahan atau peralatan.

