Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap kolumnis Malaysiakini Andrew Sia berhubung artikel bertajuk "Our Apartheid Academy, UiTM" yang diterbitkan pada 22 Mei lalu.
Razarudin dipetik Harian Metro sebagai berkata bahawa 14 laporan polis telah dibuat mengenai artikel itu setakat 6 petang semalam.
"Polis akan memohon profiling dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan butiran penulis (Andrew Sia) untuk membantu siasatan,” katanya.
Razarudin menambah, laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di balai polis Dang Wangi.
Siasatan adalah di bawah penghinaan yang disengajakan bertujuan untuk mencetuskan pecah keamanan (Seksyen 504 Kanun Keseksaan), menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang boleh dianggap menyinggung perasaan (Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia) dan penggunaan kata-kata yang menghina (Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil).
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebelum ini menuntut Malaysiakini menurunkan artikel itu dan menggesa Sia mengeluarkan permohonan maaf.
Dia turut menyeru anggota sayapnya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Malaysiakini dan Sia.

