malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan liwat 3 remaja: Ustaz pusat tahfiz ditahan bantu siasatan
Diterbitkan:  Apr 26, 2024 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM
ADS

Tiga aduan - dan didakwa berlaku sejak dua tahun lalu - membawa kepada penangkapan seorang guru agama di sebuah pusat tahfiz di Machang, Kelantan.

Menurut polis lelaki terbabit kini disiasat kerana disyaki meliwat pelajar di sekolah tahfiz berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Supt Ahmad Shafiki Hussin, berkata mangsa yang berusia 12 dan 13 tahun membuat aduan di Balai Polis Machang pada 15 April lalu.

Katanya laporan tersebut dibuat pada jam 12.56 tengah malam.

"Kejadian melibatkan tiga pelajar tahfiz dan polis Machang menerima tiga laporan berkaitan kes tersebut.

"Kejadian didakwa berlaku sejak dua tahun yang lalu dan kesemua mangsa mendakwa diliwat oleh ustaz terbabit di pusat tahfiz berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan aduan yang diterima itu, seorang ustaz berusia 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut Ahmad Shafiki, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan meliwat.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 April lalu.

"Tempoh reman kemudian dilanjutkan tujuh hari lagi bermula 23 sehingga 29 April ini,” katanya.

Lihat Komen