malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nube buat laporan polis lagi terhadap menteri sumber manusia
Diterbitkan:  Apr 26, 2024 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM
ADS

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) sekali lagi membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia Steven Sim atas dakwaan salah guna kuasa.

Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata, laporan itu dibuat ekoran tindakan Sim merujuk pertikaian antara kesatuan itu dengan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaya (MCBA) berhubung bayaran bantuan perayaan ke Mahkamah Perusahaan ketika isu tersebut masih dalam proses rekonsiliasi dengan ketua pengarah perhubungan perusahaan.

Menurut Solomon, Nube telah hadir ke dua pertemuan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan pada 21 dan 27 Mac, di mana mereka dimaklumkan yang masih ada ruang perbincangan untuk mencapai penyelesaian.

"Pada 18 April 2024 (hari sama Nube membuat laporan polis pertama), Nube menerima emel daripada Mahkamah Perusahaan yang menyatakan pertikaian itu telah dirujuk ke mahkamah itu.

"Nube terkejut kerana setakat 27 Mac 2024, kami diberitahu oleh ketua pengarah perhubungan perusahaan yang masih ada ruang perbincangan untuk penyelesaian. Dia tahu MCBA masih belum menggunakan sepenuhnya remedi dalaman dengan Nube," katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven Sim

Katanya lagi, pertikaian itu patutnya hanya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan jika dua pihak terlibat menemui jalan buntu.

Dia juga menegaskan pejabat ketua pengarah perhubungan perusahaan tidak memaklumkan kepada Nube yang isu tersebut telah dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Nube memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan MCBA pada 5 April 2023, untuk bank membayar sebulan gaji sebagai bantuan perayaan kepada anggotanya.

MOA itu turut menyatakan bayaran itu akan dinilai semula oleh kedua-dua pihak pada tahun berikutnya.

Solomon sebelum ini menyatakan bayaran itu dibuat seperti yang dijanjikan pada tahun lalu.

Bermula Disember lalu, Nube memberi peringatan kepada MCBA berkenaan perjanjian itu dan memulakan proses rekonsiliasi.

Bagaimanapun, tahun ini, ketika rekonsiliasi untuk pembayaran sedang berjalan, Sim didakwa campur tangan dengan meminta bank membayar hanya setengah bulan gaji kepada pekerja perkeranian dan perkeranian gred khas.

Laporan polis pertama terhadap Sim dibuat pada minggu lalu.

'Langgar kuasa menteri'

Solomon turut mempersoalkan "tindakan aneh" Mahkamah Perusahaan yang menghantar tiga notis dengan kandungan sama berkenaan perkara itu kepada Nube.

Dia mendakwa Sim melanggar kuasa menterinya dengan bertindak secara bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 166 Kanun Keseksaan. Nube menggesa polis menyiasat perkara ini memandangkan tindakan oleh Sim menyebabkan kira-kira 15,000 anggota Nube dalam kategori B40 dan M40 dan kesatuan menanggung kerugian yang tidak perlu," katanya lagi.

Lihat Komen