malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nik Nazmi: Pihak berkuasa pantau projek cari gali baru Petronas
Diterbitkan:  Apr 22, 2024 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM
ADS

Pihak berkuasa akan memantau dengan teliti projek cari gali minyak dan gas baru oleh Petronas di lembangan Langkasuka, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.

Berucap pada sidang media hari ini, dia berkata ini bagi memastikan projek itu mematuhi semua keperluan keselamatan alam sekitar dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Kita akan pantau secara dekat. Sudah tentu sebarang projek baru kita nak buat kita akan pantau dengan dekat.

"Kita pecaya sebarang projek baru nak dilaksanakan, dia kena mematuhi satu piawai alam sekitar dan tanggungjawab kepada masyarakat yang sangat tinggi," katanya.

Nik Nazmi menjawab soalan mengenai projek penerokaan baharu Petronas di lembangan Langkasuka, yang telah menerima penolakan daripada pemerhati alam sekitar RimbaWatch.

Terdahulu, RimbaWatch memberi amaran terhadap kemungkinan implikasi projek di utara Selat Melaka, berkata ia bukan sahaja menjejaskan tanggungjawab Malaysia dalam pengurangan kesan perubahan iklim tetapi juga mengancam biodiversiti marin pantai, mata pencarian nelayan dan pelancongan tempatan.

Nik Nazmi berkata kerajaan juga berpegang kepada konsensus yang dicapai pada Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28), dengan negara-negara bersetuju untuk beralih daripada bahan api fosil.

Bagaimanapun, kata menteri perlu ada proses peralihan yang adil terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia.

"Saya percaya Petronas juga memberi perhatian kepada perkara ini. Mereka antara syarikat yang sangat peka terhadap keperluan untuk adanya satu peralihan yang adil kepada tenaga yang lebih lestari ke depan.

"Tapi kita ambil maklum supaya apa kita telah setuju dan capai selama ini dapat kita pertahankan dalam apa jua projek baru yang akan berlangsung," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen