malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Speaker saran ubi kayu makanan tambahan kepada beras
Diterbitkan:  Apr 6, 2024 10:14 PM
Dikemaskini: 2:28 PM
ADS

Dalam keadaan kekurangan bekalan beras tempatan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul menyarankan orang ramai menjadikan ubi kayu sebagai sumber alternatif untuk karbohidrat.

Johari dipetik Harian Metro mencadangkan supaya orang ramai tidak bergantung semata-mata kepada beras sebagai makanan ruji utama mereka.

"Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan...tujuan untuk dapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.

"Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai supplement (makanan tambahan).

"Sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah.

"Saya ada bincang, kalau kita dapat perkenalkan makanan supplement menggantikan beras..buatlah ubi kayu macam mana pun, sudah tentu, di Sarawak saya difahamkan amat berjaya," katanya seperti dilaporkan selepas lawatan ke Program Jualan Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani.

Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Mengulas lanjut, Johari berkata meneroka sumber makanan tempatan alternatif boleh menjadi satu cara untuk mengurangkan pergantungan kepada import.

"Jadi saya rasa sudah sampai masanya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pintu untuk rakyat mengusahakan tanah terbiar, menanam pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran.

"Apabila penawaran banyak sudah tentu harga akan turun, kita harus ada keberanian untuk mencuba, kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat.

"Kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion...ini satu jumlah yang besar..tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang," kata bekas ahli parlimen Sungai Petani itu lagi.

Sementara itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan untuk menaikkan harga lantai padi dan benih padi serta menetapkan harga siling untuk beras putih import bagi mengatasi isu berkaitan beras.

Pengerusi LPP Mahfuz Omar berkata kenaikan harga lantai padi juga sebagai melindungi petani supaya pengilang beras tidak boleh membeli padi di bawah paras harga lantai ditetapkan.

Dia dipetik Bernama berkata ia juga bagi mengelak ketidaktentuan dan manipulasi berterusan terhadap harga padi di pasaran tempatan yang seterusnya memberi kesan kepada harga dan bekalan beras.

"Kita mencadangkan harga lantai belian padi dinaikkan, harga lantai ini untuk melindungi petani, kilang tak boleh beli di bawah harga tersebut, iaitu harga untuk kehidupan dan keuntungan petani," katanya selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani Mega Raya LPP Kedah di Alor Setar hari ini.

Selain itu, Mahfuz berkata pihaknya turut mencadangkan kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi beras import untuk mengelakkan manipulasi beras dalam pasaran.

"Bila tak ada harga siling, ia akan menyebabkan pengilang-pengilang memanipulasi bekalan.

“Mereka salin beras tempatan untuk buat beras import, beras dicampur dan sebagainya, jadi kita minta adakan harga siling beras import," katanya.

Pada Oktober tahun lepas, kerajaan mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, kadar sejak 2014.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen