malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agong terima mengadap pengasas KK Mart, ingatkan jangan ada cuba hasut rakyat
Diterbitkan:  Apr 3, 2024 1:36 PM
Dikemaskini: 5:59 AM
ADS

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan, hari ini.

Sesi mengadap di Istana Negara, Kuala Lumpur, itu berlangsung selama 15 minit.

Pada sesi mengadap itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim kemudian bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Sultan Ibrahim.

Kedai serbaneka KK Mart mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya kemudiannya memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Pada Mac lalu, Chai, dan isterinya Loh Siew Mui, selaku pengarah telah diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selain menjadi sasaran kempen boikot, khususnya daripada Pemuda Umno, tiga kedai serbaneka diserang cubaan bom api.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen