malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN yakin rampas Kuala Kubu Baharu dari DAP
Diterbitkan:  Mar 31, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM
ADS

Perikatan Nasional (PN) Selangor yakin mereka boleh memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan datang.

Ketua Pemuda negerinya Mohamed Sukri Omar berkata antara faktor yang boleh membawa mereka kepada kemenangan ialah majoriti pengundi yang terdiri daripada orang Melayu.

"PN yakin mampu merampas kerusi N06 Kuala Kubu Baharu yang selama ini menjadi milik DAP sejak 2013.

"Keyakinan ini dibantu dengan komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi Kuala Kubu Baharu kosong selepas penyandang tiga penggal, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac.

Mohamed Sukri berkata selain pengundi Melayu, PN pasti golongan muda juga akan mengundi mereka.

“Bukan sahaja sokongan pengundi Melayu, malah kepercayaan yang tinggi anak-anak muda terutama undi 18 tahun yang cukup dekat dengan teknologi membuatkan mereka mudah terdedah dengan info-info untuk dibandingkan, dan akhirnya akan cenderung memilih PN.

"Buktinya, pada Pilihan Raya Negeri Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya. Manakala Perikatan Nasional menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (PRU-14 bertanding atas tiket PAS)," katanya.

Pada pilihan raya 2018, Lee mengekalkan kerusinya dengan lebih 14,101 undi menewaskan BN (6, 967 undi) dan PAS (3,306 undi).

Bagaimanapun, menjelang pilihan raya negeri 2023 yang menyaksikan PH dan BN bekerjasama, Lee memenangi kerusi itu dengan 14,862 undi, manakala PN - yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan - memperoleh 10,743 undi.

Secara keseluruhannya, bahagian undi DAP di Kuala Kubu Baharu merosot daripada 57.8 peratus pada 2018 kepada 54.4 peratus pada 2023, manakala bahagian undi PN tahun lepas adalah 39.3 peratus berbanding 13.6 peratus yang diperoleh PAS sebelum itu.

Mohamed Sukri berkata, peningkatan jumlah itu menunjukkan isyarat jelas bahawa pengundi semakin cenderung ke arah PN.

“Sudah pasti gabungan PH dan BN kepanasan dengan fakta-fakta sebegini.

"Justeru, tanpa mengira siapa pun calon PN yang bakal diletakkan, seluruh Pemuda PN Selangor sudah bersedia menghadapi pesta demokrasi di N06 Kuala Kubu Baharu kelak,"tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 4 April untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN itu.

Lihat Komen