malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya menjelaskan parti itu tidak terlibat dengan gerakan boikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart susulan kontroversi stoking tertera kalimah Allah PAS.

Katanya, pendirian PAS berbeza dengan boikot produk entiti berkaitan Israel yang menyokong pihak Zionis dalam pencerobohan di Palestin.

"Dalam isu boikot produk Israel, ia berbeza kerana ia sudah berkaitan langsung (serangan Israel ke Gaza). Tapi, dalam isu KK Mart tiada kaitan langsung.

"Sebab itu PAS tak ambil pendekatan untuk boikot. Kalau dilihat ucapan-ucapan tak ada seorang pun pemimpin PAS yang minta boikot KK Mart.

"Cuma pimpinan PAS minta supaya tindakan tegas kepada orang yang bertanggungjawab.

“Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini dan cerita boikot ini akan reda," katanya kepada pemberita pada Majlis Mahabbah Media dan berbuka puasa bersama Dewan Ulama PAS di Ampang, malam tadi.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh antara ahli politik yang paling lantang bersuara dalam isu ini, menggesa orang ramai meneruskan memboikot KK Mart, mengatakan syarikat itu sudah boleh "memikirkan perniagaan lain."

Dalam pada itu, Ahmad yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata PAS menyeru perpaduan dalam negara tetapi bertegas jika ada pihak menghina mana-mana agama.

"Bagi kita mudah. Kita nak uruskan keadaan dalam negara supaya tidak ada konflik yang membawa kepada perpecahan. Sebab seruan kita tadi untuk mewujudkan perpaduan kerana keadaan yang kita nak itu adalah satu yang stabil.

"Jadi. Kerana itu, kami tegas bahawa kami tidak boleh menerima mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama, malah saya akan katakan, (inilah sentimen) walaupun juga dalam kalangan orang Islam," katanya.

Sementara itu Ahmad juga tidak menolak kemungkinan kewujudan tangan ghaib dalam isu KK Mart ini.

"Kami sudah gambarkan seolah-olah wujud tangan hitam sengaja cetuskan perkara sebegini. Kita ambil contoh bila berlaku letupan di KK Mart sudah tentu terdedah saling tuduh menuduh pihak berkuasa kena siasat asal masalah siapa yang cetuskan.

Elak provokasi

"Kita bimbang ia takkan berhenti. Kalau perkembangan terkini polis tahan seorang Israel dalam negara kita dengan senjata api. Inilah kebimbangan kita ambil peluang. Kita harapkan mengelakkan apa-apa provokasi.

"Ini satu lagi situasi, yang saya rasa, mungkin ada pihak-dan kita beritahu media, mungkin media ada maklumat.

“Kita harap pihak berkuasa khususnya kerajaan tegas, jika ada tangan-tangan ghaib yang sengaja mencipta punca perbalahan antara kaum dan agama di negara kita," katanya.

Ahmad juga mendakwa kerajaan lambat bertindak menjadi antara sebab isu ini semakin panas.

"Kegagalan kerajaan hari ini menunaikan janji khususnya kepada umat Islam antara punca tercetus ketegangan perkauman.

"Beberapa perkara yang mencabar hak umat Islam dilihat semakin menjadi-jadi, sekali gus menjelaskan pentadbiran di bawah PN lebih 'bersih' dan 'tenang' apabila tidak diserang isu berkaitan perkauman," katanya.

Kontroversi tercetus sebelum ini apabila gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway dan tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam insiden terbaru di KK Mart Sungai Isap telah menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu.

Sebelum ini cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut mengalami nasib serupa.

Lihat Komen