malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP: Polis tahan warga Israel, rampas enam pistol dan 200 peluru
ADS

Pihak keselamatan menahan seorang lelaki warga negara Israel dan merampas enam pucuk pistol bersama 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika memaklumkan perkara itu memberitahu pemberita suspek berusia 36 tahun itu masuk ke Malaysia menggunakan pasport Perancis.

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bukit Aman telah merampas enam pucuk senjata api di dalam beg di bilik hotel," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Razaruddin juga berkata siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari dan membunuh rakan senegaranya dari Israel susulan masalah keluarga.

Menurut ketua polis negara, suspek telah masuk ke negara ini pada 12 Mac lalu melaui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“Dia duduk di dua, tiga hotel sebelum ini,” katanya.

Polis telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek bermula 27 Mac lalu hingga 31 Mac depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971.

Bagaimanapun, ketua polis negara berkata pihak polis masih menyiasat lanjut latar belakang dan motif suspek.

Pada masa sama, Razarudin berkata pihak polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan terhadap pemimpin negara.

“Apa yang membimbangkan di sini, isu di Palestin dan Israel.

“Kita juga waspada terutama keselamatan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira.

Siasat jika perisik Israel

"Mungkin dia ada agenda yang lain yang dia datang sini bermula 12hb sehingga tertangkap,” kata Razarudin.

Ketika ditanya jika individu ditahan itu perisik Israel, Razarudin berkata siasatan pihaknya juga turut mengambil kira aspek berkenaan.

“Kita siasat ke arah itu,” katanya.

"Kita percaya dia tak bergerak seorang. Dia ada kontak di sini yang kita perlu kenal pasti," katanya.

Mengulas lanjut, Razaruddin berkata bahawa individu itu membeli senjata menggunakan wang crypto.

"Semua pembayaran senjata yang dibeli itu melalui crypto. Macam mana pistol ini boleh masuk ke Malaysia? Kita pun tak tahu. Siapa yang terima bayaran? Semuanya sedang disiasat.

"Dia tiba di Malaysia baru dia membeli (senjata). Penerbangan dia melalui Emeriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia," katanya.

Antara senjata yang dirampas adalah jenis Sig Sauer, Glock-27, Smith& Wesson dan 200 peluru.

“Semasa tangkapan, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menemukan enam pucuk pistol dengan tiga daripadanya berisi peluru penuh selain terdapat 200 peluru lain,” kata Razarudin lagi.

Sementara itu, polis telah menahan pasangan warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata kepada suspek.

Menurut laporan Berita Harian, pasangan itu, masing-masing berusia 42 dan 40 tahun, ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 7.15 malam semalam.

Laporan yang memetik sumber itu menyatakan polis membawa pasangan itu ke rumah mereka, juga terletak di Kuala selangor, dan menemui sepucuk pistol dalam beg galas di dalam kereta mereka.

Suspek lelaki dipercayai bertanggungjawab membekalkan enam pucuk pistol kepada lelaki warga Israel itu, menurut laporan itu.

Pasangan itu dipercayai akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen