Pemuda Amanah senada dengan Pemuda Umno yang mahukan kedai serbaneka KK Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangannya.
Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata pihaknya setakat ini belum berpuas hati dengan penjelasan KK Mart berhubung penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi.
"Pemuda Amanah tidak berpuas hati penjelasan KK Mart...sekarang KK Mart, selepas ini tak tahu lagi. Pemuda Amanah mahu tindakan yang lebih besar oleh KK Mart.
"Kami senada dengan Pemuda Umno yang kain rentang di 881 premis KK Mart bagi permohonan maaf adalah munasabah," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh - yang lantang bersuara berkenaan perkara itu - menggesa KK Mart supaya menggantung kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 premis perniagaan mereka.
Akmal yang juga Adun Merlimau turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Terdahulu, pengasas KK Super Mart, KK Chai membuat permohonan maaf berhubung perkara itu, selain menjelaskan produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Pembekal stoking itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd, juga telah memohon maaf berhubung perkara itu dan berkata pihaknya akan lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara.
Semalam Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pihak berkuasa terus menjalankan siasatan meskipun syarikat terbabit telah mengemukakan permohonan maaf.
Sementara itu, Mohd Hasbie berkata bukan mudah mahu menutup isu berkenaan tanpa penjelasan yang meyakinkan daripada KK Mart.
Dia turut menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail yang turut bersuara dalam isu berkenaan.
"Selagi KK Mart belum ada penjelasan yang jelas, bukan mudah nak lepas...selagi tak Ada apa-apa keyakinan.
"...Kita harap isu ini tak jadi modal pihak tertentu, jadi modal perkauman," katanya lagi.