Kajian terperinci akan dijalankan bagi membuka laluan kepada pelarian bekerja di sektor tertentu di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Dia berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengumpul data berkaitan.
Antara maklumat yang dikumpulkan, katanya, ialah seperti tempat tinggal pelarian bagi menentukan jumlah sebenar mereka sebelum dibenarkan bekerja.
"Apabila data sudah ada, kita boleh buat pemetaan. Sebagai contoh berapa orang (pelarian Rohingya) di Sabah, di Perlis dan Sarawak," katanya dipetik Mingguan Malaysia hari ini.
Idea untuk membenarkan pelarian bekerja di Malaysia dibincang dalam beberapa pentadbiran sebelum ini dan dihidupkan semula semasa kerajaan PH pada 2018.
Menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegaran, berkata dia percaya pelarian yang sudah berada di Malaysia harus dibenarkan bekerja sebagai alternatif kepada pengambilan pekerja asing baru.
Penggantinya dalam kerajaan PN, M Saravanan, pula berkata bahawa Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama KDN akan menjalankan kajian mendalam termasuk dari aspek keselamatan.
Saifuddin berkata berdasarkan permintaan, sektor yang dikenal pasti berpotensi untuk mengambil pelarian sebagai pekerja ialah pertanian dan perladangan.
Katanya, daripada membenarkan pelarian mendirikan gerai atau perniagaan kecil lain, data yang dikumpul itu akan dipadankan dengan ladang yang memerlukan pekerja.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata jumlah sebenar pelarian masih tidak jelas kerana data yang berbeza didaftarkan kerajaan dan UNHCR.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara menguruskan 40,000 pelarian dari 48 negara, manakala data UNHCR mendedahkan terdapat 189,000 pelarian di negara ini.
"Kebanyakan mereka yang datang berumur antara 25 sehingga 40 tahun, masih produktif mampu bekerja," katanya.
Dia juga berkata beberapa pelarian memasuki negara semasa Perang Vietnam dengan persetujuan pentadbiran ketika itu.
"Mereka diselamatkan dan dibawa ke bumi Malaysia dan kita setuju sebab mereka mangsa pelarian kerana perang. Maka, UNHCR daftarkan mereka dan kemudian UNHCR mencari negara ketiga.
"Sebabnya pelarian tidak boleh berlama-lama di sini," katanya.
Bagaimanapun, Saifudin berkata walaupun beberapa negara sudah menamatkan perang, masih terdapat sejumlah pelarian yang tidak dapat pulang kerana konflik yang berterusan.