Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu kerana didakwa tidak menyentuh isu harga beras dan ketiadaan beras tempatan di pasaran dalam ucapan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Syed Abu Hussin berkata, dia kecewa Mohamad langsung tidak menyentuh soalan-soalan yang dibangkitkan olehnya semasa perbahasan usul menjunjung kasih ke atas Titah Diraja pada 7 Mac ini.
"Saya amat rasa kecewa pada sesi jawab menteri membahaskan titah diraja. Saya ternanti-nanti dan menunggu dengan penuh minat mendengar jawapan kepada soalan yang saya kemukakan dan juga MP lain.
"Setelah saya tunggu hampir satu jam, tidak ada langsung sentuh soalan yang dibangkitkan," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas ucapan Mohamad ketika menjawab ke atas perbahasan usul menjunjung kasih ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 11 Mac.
Dalam ucapan pada 7 Mac, Syed Abu Hussin mempersoalkan keputusan KPKM mengadakan Op Bersatu Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang bersetuju memberi kuasa di bawah Akta 522 kepada agensi-agensi penguatkuasaan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas isu harga beras khususnya dakwaan ketiadaan beras tempatan di pasaran.
Dia juga dalam ucapan itu meminta menteri membentangkan keberkesanan penguatkuasaan yang telah dilakukan.
"Siapa yang melakukan ini? Bahagian Kawal Selia Padi seolah-olah membenarkan perkara ini berlaku dengan tidak mengambil tindakan tegas ke atas pelanggaran peraturan ini," katanya.
Bagaiamanapun, katanya soalan-soalan itu tiada langsung disentuh oleh Mat Sabu.
Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) sebelum ini secara konsisten mendakwa bahawa ada pihak 'repacking' atau pek semula beras tempatan sebagai beras import dan dijual dengan harga yang lebih mahal.
Sementara itu, dia menolak tanggapan bahawa menteri mungkin menolak soalan-soalan kerana mesyuarat mesyuarat Naccol dijadualkan pada 20 Mac ini.
"Saya rasa ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan khususnya isu harga beras dan ketiadaan beras tempatan di pasaran.
"Sekurang-kurangnya menteri boleh menjelaskan apakah tindakan segera yang dibuat sementara menunggu keputusan muktamad di peringkat Naccol, terumata dari segi pemantauan dan penguatkuasaan.
"Sebagai contoh, boleh memberi penjelasan berapa banyak padi dan beras dihasilkan pada musim ini, berapa banyak beras dihantar kepada pemborong. Sebab sehingga hari ini kita dengar bahawa beras tempatan tidak ada dalam pasaran ," katanya.
Katanya, keputusan KPKM tidak menyentuh dakwaan ketiadaan beras tempatan malang buat negara dan khususnya kepada penganut agama Islam yang bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri pada bulan April ini.
Sebelum ini, Syed Abu Hussin mendakwa beras tempatan tiada dalam pasaran kerana unit kawal selia padi dan beras gagal membuat penguatkuasaan yang rapi.
Justeru, dia berkata Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood perlu diganti segera kerana “gagal” melaksanakan tugas.
Malaysiakini masih sedang menunggu mendapatkan komen KPKM dan menterinya.