Dikemas kini dengan berita penuh.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang menggesa semua pihak agar segera menghentikan polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Tegasnya, jika polemik tersebut berterusan, ia akan mengganggu gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
Aaron malah menegaskan bahawa sekolah vernakular bukanlah satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, tetapi sebaliknya.
“Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.
“Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Aaron kementerian telah melaksanakan “wacana defisit sosial” dengan menampilkan pakar pelbagai bidang pada tahun lepas.
Hasil dapatan tersebut, katanya, menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.
Dalam kenyataan hari ini, dia juga memetik keputusan Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu bahawa kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil di sekolah berkenaan selari dengan perlembagaan.
“Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.
Aaron berkata dia juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa Kementerian Pendidikan akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular, selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan), Akta Pendidikan 1996,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular.
Akmal sebelum ini menegaskan kepentingan menyuburkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar di samping meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.
Gesaan itu mencetuskan perdebatan hangat di kalangan ahli politik di mengenai pendirian kerajaan terhadap kewujudan sekolah berkenaan.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berkata sekolah vernakular tidak seharusnya dipersalahkan sebagai punca perpecahan kaum.
Ketua Pemuda Umno itu kemudiannya mempertahankan pendiriannya dengan mengatakan bahawa sekolah vernakular tidak mencerminkan wawasan "Bangsa Malaysia" dan membidas Ramasamy dengan mengatakan “Kamu mabuk ke apa?”.

Ungkapan "Mabuk ke?" biasa digunakan untuk merujuk seseorang yang keliru atau melakukan perbuatan yang tidak munasabah.
Namun ungkapan yang sama juga boleh menjadi stereotaip perkauman yang biasa digunakan terhadap kaum India.
November lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Supang Lian sebulat suara menolak rayuan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan tiga lagi NGO yang mencabar kewujudan sekolah berkenaan.
Tiga lagi perayu ialah Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).
Semasa membacakan keputusannya, hakim Azizul Azmin Adnan menegaskan bahawa penggubal Perlembagaan Persekutuan berhasrat sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular sebelum merdeka akan terus beroperasi dengan sah selepas 1957.
Azizul berkata ia tercermin dalam Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengekalkan dan melindungi penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.
Sementara itu, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara.
Ia, katanya melibatkan KPN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan.
“Besar harapan saya agar rakyat Malaysia dapat menghayati, mengamalkan dan menjadikan kesemua cita-cita Rukun Negara sebagai pedoman hidup sebagai satu Bangsa Malaysia,” tambahnya.

