Beras tempatan tiada dalam pasaran kerana unit kawal selia padi dan beras gagal membuat penguatkuasaan yang rapi, dakwa Pengerusi Pasukan Bertindak (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal.
Justeru, kata Syed Abu Hussin yang juga anggota parlimen Bukit Gantang, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood perlu diganti segera kerana “gagal” melaksanakan tugas.
"Dalam beberapa mesyuarat ketua pengarah itu mengatakan beras tempatan ada di pasaran. Lebih teruk, dalam satu mesyuarat dia berbohong dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri.
"Dalam mesyuarat itu, bila dia sebut beras ada, pihak peruncit yang hadir ke mesyuarat itu beritahu tak ada beras tempatan di pasaran. Jadi, maklumat yang salah diberikan dalam mesyuarat sebabkan maklumat sebenar tidak sampai kepada menteri dan perdana menteri.
"Tetapi, akhirnya perdana menteri yang disalahkan. Sebenarnya bahagian ini (kawal selia padi dan beras) tak menjalankan tugas. Saya cadangkan tukar ketua pengarah ini dan mengambil pegawai yang lebih telus dan agresif," katanya kepada Malaysiakini kelmarin.
Azman ketika dihubungi semalam enggan mengulas dakwaan dan desakan supaya dia digantikan.
“Lebih baik kamu minta komen YB menteri,” katanya kepada portal berita ini.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu serta pegawainya tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.
‘Hampir semua negeri kurang beras’
Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata dia tidak faham dengan cara pemantauan badan kawal selia itu kerana hampir setiap negeri menghadapi kekurangan beras tempatan.
"Saya amat tak puas hati dan menggesa supaya seksyen kawal selia padi dan beras ambil tindakan tegas, untuk mengurangkan manipulasi yang menyebabkan rakyat terpaksa bayar lebih untuk mendapatkan beras.
"Siasatan pasukan bertindak (kluster makanan) di lapangan mendapati penguatkuasaan kawal selia padi dan beras dalam memantau harga beras tidak memberangsangkan.
“Malangnya, seksyen kawal selia padi dan beras mengatakan telah dibuat pengawal seliaan, tetapi beras tak ada,” katanya.
Syed Abu Hussin berkata, dengan rekod jualan dari pesawah ke kilang ke pemborong dan seterusnya peruncit, sepatutnya pemantauan boleh dibuat dengan mudah.
“Tapi, masih terdapat 'kehilangan' beras tempatan kerana kegagalan badan kawal selia padi dan beras ini.
"Saya cabar bahagian kawal selia ini mengambil tindakan segera atau mengajak pihak Naccol dan media untuk kita pergi melawat kilang besar untuk memeriksa apa dia orang buat dan berapa banyak stok yang ada supaya rakyat lebih jelas dapat melihat apa bahagian kawal selia buat," katanya.
Bahagian kawal selia padi dan beras bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berfungsi untuk memantau pembekalan padi dan beras di negara ini.
Azman sebelum ini menafikan dakwaan isu ‘kehilangan’ beras tempatan di pasaran.
Pada Oktober 2023 Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata kementeriannya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh timbalannya Chan Foong Hin.
KPKM juga bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan pusat gerakan bersepadu di kementerian.
Pertahan penyelarasan harga
Sementara itu, Syed Abu Hussin mempertahankan cadangan penyelarasan harga beras tempatan dan beras import.
"Isu kehilangan beras tempatan di pasaran sudah melangkaui lebih enam bulan. Beras tempatan (super spesial tempatan-SST) sepatutnya dijual pada harga RM26 sudah tak ada dalam pasaran.
“Hanya ada beras import (super spesial import- SSI) yang harganya lebih tinggi.
"Negara menggunakan beras tempatan sebanyak 60 peratus dan import dalam 40 peratus. Jadi, secara logik, pasaran seharusnya mempunyai beras tempatan lebih banyak beras import. Tapi, SST sudah tak ada. Ini kerana struktur harga.
"Manipulasi harga ini berlaku kerana harga beras import tidak ada harga kawalan. Jadi, berlakunya pengampitan semula atau repackaging.
“Maknanya, beras tempatan di pek semula sebagai beras import dan dijual dengan harga lebih tinggi untuk mengaut keuntungan. Ini yang kita perlu pantau,” katanya.
Tambahnya, dengan menyelaraskan harga SST dan SSI, manipulasi sedemikian dapat dikekang.
"Sebenarnya, gred beras putih SST dan SSI sama sahaja. Ini yang kami cadangkan meletakkan harga RM30 untuk semua beras putih.
"Dengan itu, rakyat tidak perlu membeli beras import dengan harga yang tinggi,” katanya.
Katanya lagi, pengguna membelanja atau rugi hampir RM7 juta sehari akibat beras tempatan dijual dalam pek beras import.
"Kebanyakan pemain industri ini cadangkan antara RM30 hingga RM35. Jadi, kalau diselaraskan harga, tak ada peluang untuk kartel buat manipulasi dan rakyat pun untung," katanya.