malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas kelindan lori rogol, liwat dan bunuh nenek kekal ke tali gantung
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 5:18 PM
Dikemaskini: 10:05 AM
ADS

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang bekas kelindan lori yang disabitkan bersalah membunuh wanita warga emas selepas merogol dan meliwatnya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak rayuan K Sathiaraj, 31, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2022.

"Kami mendapati tiada merit dalam rayuan perayu dan sabitan adalah selamat.

"Ini adalah kes yang sesuai untuk dijatuhkan hukuman mati. Justeru sabitan dan hukuman oleh mahkamah tinggi dikekalkan, manakala rayuan perayu ditolak," kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah.

Sathiaraj didapati bersalah membunuh wanita berusia berusia 85 tahun itu di sebuah rumah flat antara jam 11.40 pagi hingga 1 petang pada 19 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum ini, lelaki terbabit - yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat - dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang.

Namun, dia tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Sathiaraj berhujah pihak pembelaan sebelum ini tidak pernah membangkitkan lelaki terbabit hilang kewarasan dan ini merupakan pertama kali isu mental perayu dibangkitkan di Mahkamah Rayuan memandangkan wujudnya fakta-fakta berkaitan dengan pembelaan sedemikian.

"Semasa keterangan perayu di peringkat pembelaan, perayu menceritakan walaupun RM1 dia akan mengambilnya, malah kehidupan perayu dijalanan, beli dadah dan mencuri semua diakui, diceritakan dan tidak dinafikan dilakukan oleh perayu.

"Kesimpulannya hanya orang yang tidak mempunyai akal yang waras melakukan perkara-perkara yang telah diakui dalam keterangannya.

"Oleh itu, saya mohon agar rayuan ini dibenarkan atau mahkamah ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah tinggi dan menggantikan dengan hukuman pemenjaraan seperti terdapat dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023," kata peguam itu yang turut dibantu Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman.

Timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari pula berhujah hakim mahkamah tinggi telah mematuhi Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dengan menghantar perayu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Berdasarkan laporan perubatan, katanya, perayu layak dibicarakan malah tiada dalam keterangan menyatakan perayu tidak waras pada masa kejadian.

"Berdasarkan keseluruhan keterangan, perayu dapat ingat satu per satu kronologi kejadian iaitu semasa dan selepas kejadian.

"Mangsa merupakan wanita warga emas berusia 85 tahun, yang bukan sahaja diliwat dan dirogol malah dirompak dan dibunuh dengan cara yang amat menyedihkan.

"Mulut (mangsa) disumbat dengan kain yang agak besar sehingga menghalang pernafasan, muka dibalut dengan dua lapisan kain dan tangannya diikat ke belakang.

"Oleh itu, saya mohon agar hukuman mati dikekalkan terhadap perayu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen