malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyingkiran terancang: Bekas pekerja MBI Kedah dapat pampasan RM500,000
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM
ADS

Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang mengarahkan lebih RM500,000 dibayar kepada seorang bekas pengurus kanan sumber manusia Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Kedah dalam kes penyingkiran terancang (constructive dismissal).

Menurut perintah mahkamah bertarikh 22 Februari, mahkamah itu mengarahkan MBI Kedah membayar RM519,006 kepada Sandra Riffa Abdul Hamid.

Menurut perintah itu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang A Jeyaseelan memutuskan Sandra Riffa berjaya membuktikan dia disingkir secara terancang oleh MBI Kedah tanpa sebab dan alasan yang adil pada 31 Ogos 2021.

Katanya, Sandra Riffa juga berjaya membuktikan MBI Kedah melanggar kontrak pekerjaan yang dimeterai.

Menurut perintah mahkamah itu, Sandra Riffa - yang mula bekerja di MBI Kedah sebagai pengurus sumber manusia pada Februari 2013 - mendakwa dia menerima surat "Notis dan Arahan Perpindahan" bertarikh 12 Ogos 2021, yang menyatakan dia "secara tiba-tiba" perlu melaporkan diri ke Paka Utama Holdings Sdn Bhd (Paka).

Paka adalah subsidiari milik penuh MBI Kedah.

Dalam kes yang difailkan pada 26 September 2022, Sandra Riffa mendakwa yang dia tidak diberitahu berkenaan jawatan dan tugasnya di Paka, dan syarikat itu sudah pun memiliki seorang pegawai sumber manusia yang melapor kepadanya.

Dakwanya, Paka sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu (sebelum 2022) dan syarikat itu terletak 100 kilometer di kawasan pedalaman, iaitu di Paya Pahlawan di Jitra.

Menurutnya, ketika menjadi pengurus kanan sumber manusia di MBI Kedah, dia telah menghadiri beberapa mesyuarat yang mengesyorkan agar Paka ditutup atau diuruskan sendiri, tanpa bergantung kepada MBI Kedah.

Katanya lagi, ketika melapor diri di Paka pada jam sembilan pagi, 15 Ogos 2021, dia mendapati syarikat itu tutup dan tidak beroperasi, dan pintu premis pula dikunci dengan mangga.

Sandra Riffa juga mendakwa seorang pegawai eksekutif sumber manusia memberitahunya yang dia tidak menerima apa-apa notis berhubung perpindahannya ke Paka.

Pada hari sama, dakwanya lagi, dia menulis surat kepada MBI Kedah bagi meminta penjelasan berhubung pemindahannya ke syarikat yang tidak beroperas itu, dan tanpa dimaklumkan berkenaan tugasnya di situ.

Dia juga mendakwa telah memberi peluang kepada MBI Kedah untuk mengembalikannya ke jawatan asal di syarikat itu.

Dakwanya lagi, dia menulis sepucuk lagi surat pada 23 Ogos 2021 bagi memberi masa sehingga 31 Ogos untuk syarikat itu berbuat demikian, dan dia akan memfailkan kes jika perkara itu tidak diselesaikan.

Sandra mendakwa pihak MBI Kedah tidak memberi respons kepada suratnya.

Ketika pendengaran kes yang berjalan pada 22 Mei 2023 hingga 5 Julai 2023, MBI Kedah menafikan Sandra disingkir kerja secara terancang.

Syarikat itu berkata selaku pengurus kanan sumber manusia, dia sepatutnya "mempunyai pengetahuan dan sedar" berkenaan tugasnya di Paka serta perlu bersedia "dalam apa juga keadaan sekalipun" untuk ditempatkan di pedalaman.

Syarikat itu juga berkata cadangan agar Paka diambil alih Pusat Zakat juga hanya di peringkat perbincangan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

Mahkamah Perusahaan mengarahkan ganti rugi dibayar kepada Sandra, dan bukannya agar dia dikembalikan ke jawatan lamanya kerana ia sudah diisi orang lain.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen