malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Speaker: Dua ahli parlimen PN dipindah kerusi atas permintaan sendiri
ADS

PARLIMEN | Dua ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang kini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditukarkan kerusi atas permintaan sendiri.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memberitahu bahawa dia membenarkan pertukaran kerusi Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Dr Zulkafperi Hanapi.

"Mengikut peraturan mesyuarat, iaitu sebagaimana yang baik pada pertimbangannya, apabila masuk ke Dewan Rakyat, ahli parlimen ada pilihan. Mereka boleh tulis surat kepada saya sekiranya ingin berpindah kerusi.

“Katakan ahli parlimen tidak selesa dengan kawan sebelah, mereka boleh tulis surat. Saya tak akan tanya apa-apa soalan. Kamu tak selesa, pada pertimbangan saya kalau nak pindah boleh pindah. Saya tak akan hadkan mana-mana atau sesiapapun.

"....(Dalam kes Bukit Gantang dan Tanjung Karang) dua-dua dipinda ke tempat baru atas permintaan mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berhubung keputusan Dewan Rakyat menukar kerusi ahli parlimen Bukit Gantang dan Tanjung Karang.

Terdahulu, Takiyuddin (Kota Bharu) meminta penjelasan kedudukan kerusi dua ahli parlimen tersebut.

"Yang menjadi kemusykilan kami hari ini terdapat dua ahli parlimen sehingga saat ini masih lagi diklasifikasi sebagai ahli parlimen PN. Berdasarkan kedudukan kerusi iaitu Tanjung Karang dan Bukit Gantang sebelum ini duduk di kalangan ahli parlimen pembangkang dan kini ditukar tempat lain.

"Oleh kerana kedua-dua ahli parlimen ini masih lagi di klasifikasi sebagai (ahli) PN, saya dengan rendah diri ingin mendapat pencerahan dari Dewan Rakyat bahawa arahan dan pindahan mereka ke tempat itu atas asas apa dan siapakah yang membuat apa-apa tindakan yang menyebabkan mereka berpindah ke duduk ke tempat baru," soalnya.

Untuk rekod, Syed Abu Hussin dan Zulkafperi kini duduk di blok E.

Difahamkan buat masa ini, blok itu menempatkan ahli parlimen Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari parti Muda yang tidak menyokong kerajaan mahupun PN.

Selain itu, blok itu juga dikhaskan kepada ahli parlimen PN yang menyokong kerajaan perpaduan. Selain Syed Abu Hussin dan Zulkafperi, Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) berada dalam blok itu.

Suhaili, Mohd Azizi dan Zahari juga mengumumkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Namun, Malaysiakini tidak dapat memastikan kedudukan kerusi ahli parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid. Mengikut portal rasmi Dewan Rakyat, dia masih duduk di kalangan ahli parlimen PN.

Sebelum ini, dilaporkan Dzulkarnain Abdul juga menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan telah menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat untuk dipindahkan tempat duduk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen