malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas speaker DUN Kedah meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
ADS

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Md Rozai Shafian, 69, meninggal dunia akibat komplikasi dalaman pada 11.40 malam tadi, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar.

Anak Allahyarham, Anas Aidi berkata kesihatan bapanya merosot sejak dua minggu lepas dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar sebelum dipindahkan ke HSB.

“Arwah bapa sepatutnya menjalani satu prosedur perubatan tetapi tidak dapat diteruskan berikutan keadaannya yang tidak stabil sebelum dia disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin di Kobah, Pendang selepas solat zuhur hari ini.

Allahyarham Md Rozai yang dilantik sebagai Speaker DUN Kedah dari 2013 hingga 2018 juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Pendang pada 1999 hingga 2004.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mewakili seluruh kepimpinan Umno Kedah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya Umno Kedah telah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah dan juga Ketua Umno Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku Speaker DUN Kedah.

“Umno Kedah turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti Allahyarham sepanjang seusianya bersama kepimpinan mno Kedah. Allahyarham merupakan sahabat lama saya yang dikenali lebih 30 tahun lalu, saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Md Rozai meninggalkan isteri, Datin Khalijah Ghazali dan enam anak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen