malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu berkaitan LTAT, usaha lindungi undang-undang syariah jadi tumpuan
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 9:32 AM
Dikemaskini: 1:32 AM
ADS

PARLIMEN l Isu peletakan jawatan beberapa pegawai kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan usaha kerajaan dalam melindungi Undang-undang Enakmen Syariah Negeri-Negeri antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu peletakan jawatan pegawai kanan LTAT akan dibangkitkan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khlir ingin mendapatkan penjelasan mengenai langkah yang diambil susulan peletakan jawatan pegawai-pegawai berkenaan.

Dalam sesi itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) juga akan membangkitkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengenai status peruntukan RM50 juta bagi pembinaan pangsapuri kos rendah untuk menempatkan penduduk Flat Taman Sri Berembang Port Klang, yang diisytiharkan tidak selamat diduduki.

Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dijadual meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan usaha yang diambil dalam melindungi keabsahan Undang-undang Enakmen Syariah Negeri-Negeri terutamanya daripada serangan terancang litigasi strategik.

Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) pula akan bertanyakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengenai keberkesanan inisiatif yang diambil Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Manakala, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) turut meminta Perdana Menteri menyatakan usaha yang diambil bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dan bantuan serta pembelaan yang diberikan kepada mangsa penipuan. 

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula dijadualkan untuk bertanya kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai perincian dan implikasi pemberian konsesi tambahan baharu bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit selama 30 tahun.

Usai sesi soal jawab, Azli Yusof (PH-Shah Alam) akan mengemukakan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja yang kemudiannya akan menyaksikan Ahli-ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam membahaskan Titah Diraja yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Manakala, pembentangan serta pembahasan Rang Undang-Undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hinga 27 Mac.

- Bernama

Lihat Komen