malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Peserta himpunan Bersih berarak ke Parlimen, tuntut janji reformasi
ADS

Kira-kira seratus peserta himpunan #Reformasi100Peratus yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berarak ke bangunan Parlimen.

Perhimpunan aman itu yang rata-ratanya berbaju hitam dan kuning bertujuan mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi 100 peratus.

Antaranya, mereka mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Bersih juga menuntut supaya had tempoh jawatan perdana menteri dihadkan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, mereka juga mahu Akta Hasutan dimansuhkan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati peserta mula berkumpul di pekarangan Tugu Negara, sekitar 7.30 pagi tadi. Jumlah anggota polis dan media jauh mengatasi kehadiran peser

Semalam, Bersih menyerahkan notis makluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, untuk mengadakan perarakan ke parlimen, hari ini.

Notis itu sebagai jawapan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berhubung isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.

Malaysikini difahamkan lebih 300 anggota polis ditempatkan di seluruh kawasan terbabit untuk memantau keadaan. Jumlah watawan dan jurugambar pula dianggarkan sekitar 50 orang.

Tinjaun mendapati peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Antara mereka, termasuk beberapa pemimpin Bersih termasuk pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Kira-kira sejam kemudian peserta mula berarak ke bangunan Parlimen sambil diiringi oleh ratusan anggota polis dan wartawan.

Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang antaranya tertulis “Reformasi 100%”, “Malu Apa Madani” dan “No DNNA”.

Peserta himpunan bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan pekarangan Parlimen. Sebaliknya mereka hanya dibenarkan berada di tepi jalan, Jalan Parlimen.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong menjadi wakil rakyat pertama menerima memorandum Bersih dan diikuti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sekitar jam 9.15 pagi.

Sementara itu, Hassan dalam ucapan ringkasnya berkata dia akan meneruskan tuntutan reformasi di Parlimen seperti yang dituntut rakyat.

"Saya tidak ada apa kepentingan, bila mati (meninggal dunia), saya akan tenang kerana reformasi ini akan diteruskan oleh orang lain.

"Kita kena berani menyatakan yang benar, membawa perubahan (walaupun) tidak mudah, terutama ujiannya apabila ksudah berkusa," katanya.

Manakala Leong mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut.

Muhammad Faisal pula dalam ucapannya berkata rakyat mengharapkan perubahan dapat dilakukan demi kebaikan semua.

“Kita tidak boleh gelar diri sebagai pejuang kalau kita tidak ada keberanian untuk bertindak. Harap ada perubahan ke arah kebaikan. Tolak DNAA,” katanya ringkas.

Syed Saddiq sedia sokong

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas ia merujuk kepada pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam pertuduhan rasuahnya, tahun lalu.

Selain itu, wakil rakyat lain yang hadir ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufik Johari, Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), dan Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman (Muar), dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Taufik dalam ucapannya turut menggesa Bersih untuk memberikan masa lagi kepada kerajaan bagi melaksanakan agenda reformasi yang dilaungkan mereka sebelum ini.

“Saya ingin mengingatkan untuk melakukan reformasi kita memerlukan masa kerana terdapat banyak perkara yang perlu diberi perhatian.

“Saya yakin kerajaan semasa sedang menuju ke arah reformasi. Sebagai ahli parlimen, saya boleh memberi jaminan bahawa reformasi akan terus berlanjutan seperti perjuangan kita sebelum ini,” katanya setelah menerima memorandum tersebut.

Syed Sadddiq pula berkata, dia akan menyokong sekiranya tuntutan oleh himpunan agar reformasi dilaksanakan 100 peratus.

“Jika semua reformasi ini dilakukan oleh kerajaan, saya akan memberikan sokongan saya. Komitmen saya adalah untuk menyokong.

"Ini bukan untuk parti atau individu tetapi untuk rakyat. Terima kasih kepada Bersih,” katanya yang juga bekas presiden Muda.

Antara kandungan memorandum tersebut ialah menuntut pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus khususnya dalan sistem pilihan raya dan institusi utama.

Mereka juga menuntut dihentikan amalan yang boleh membawa kepada pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) tokoh berprofil tinggi yang sedang dibicarakan, dan menolak undang-undang dua darjat.

Peserta kemudiannya mula bersurai kira-kira jam 10 pagi.


Laporan tambahan oleh Wong Kang Jia, Azneal Ishak and Seth Akmal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen