Tujuh nelayan dan dua NGO alam sekitar memohon semakan kehakiman untuk mencabar kebenaran yang diberikan kepada Projek Penambakan Pulau Selatan (PSR) Pulau Pinang, dengan alasan kehilangan mata pencarian.
Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mageswari Sangaralingam berkata sembilan pemohon, termasuk SAM dan Jaringan Ekologi Dan Iklim (Jedi) memfailkan semakan kehakiman tersebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 29 Dis tahun lepas.
Permohonan itu untuk mencabar kebenaran merancang yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) Pulau Pinang bertarikh 21 Ogos 2023, untuk projek itu.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 5 Feb memberikan kebenaran kepada pemohon untuk meneruskan permohonan itu.

Mageswari berkata pemohon menyaman empat responden - Pengarah Negeri PlanMalaysia Pulau Pinang, Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) Pulau Pinang, kerajaan negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn Bhd.
“Pemohon pertama, Zakaria Ismail membawa tindakan ini bagi pihak diri sendiri dan bagi pihak nelayan-nelayan lain yang tinggal dan/atau menjalankan aktiviti perikanan di selatan pantai pulau Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat projek PSR,” katanya pada satu kenyataan.
"Namun, menjelang Januari 2024, tangkapan turun secara drastik kepada 120.91 kg, menandakan kejatuhan 57.73 peratus pada tahun sebelumnya,”
Pada sidang media hari ini, Zakaria berkata projek "Pulau Silikon" telah menyebabkan penurunan lebih 50 peratus dalam tangkapan udang hidup.

Walaupun musim Tahun Baru Cina secara tradisinya dikaitkan dengan tangkapan yang lebih tinggi berikutan peningkatan permintaan, dia berkata data menunjukkan terdapat jurang yang besar antara jumlah tangkapan pada Januari 2023 dan tempoh yang sama tahun ini.
"Projek Pulau Silikon ini, atau apa yang kami panggil 'pulau air mata nelayan', secara langsung memberi kesan kepada kehidupan kami," keluhnya.
Zakaria berkata Januari 2022 menyaksikan sejumlah 284.54kg tangkapan yang meningkat setahun kemudian kepada 286.04kg.
“Namun pada Januari 2024, hasil tangkapan terus turun kepada 120.91kg, menandakan penurunan sebanyak 57.73 peratus,” kata ketua komuniti nelayan dari Sungai Batu itu.

Pada 2021, Zakaria telah mencabar kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) pertama untuk projek itu yang kemudiannya berjaya dibatalkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Bagaimanapun, pada April tahun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mendedahkan JAS telah meluluskan EIA terkini dan projek itu dijangka bermula pada suku ketiga tahun yang sama.
Kesan biodiversiti
Presiden Jedi Khoo Salma Nasution berkata projek itu bukan sahaja memberi kesan kepada komuniti nelayan tetapi juga menjejaskan kekayaan biodiversiti.
Katanya, sebelum 2019 lagi kumpulan itu telah melakukan bantahan terhadap projek berkenaan tetapi tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.
“Satu-satunya perkara yang akan membuatkan mereka mendengar ialah semakan kehakiman.
“Terdapat banyak projek penambakan dilakukan dan setakat ini tiada sesiapa yang berjaya menghalangnya.
“Mereka sudah mempunyai banyak pulau untuk dibangunkan, jadi mengapa mereka masih rakus membuat projek tambak di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan peguam Meenakshi Raman (gambar atas) yang mewakili pemohon berkata kes semakan kehakiman itu merupakan cubaan kali pertama supaya kerajaan negeri dipertanggungjawabkan atas projek penambakan berkenaan.
Tegasnya, kerajaan negeri mempunyai kewajipan awam untuk melindungi biodiversiti alam sekitar.
Permohonan semakan kehakiman akan didengar sebaik sahaja mahkamah menetapkan tarikh semasa pengurusan kes Isnin ini.
Antara alasan yang disebut untuk permohonan itu ialah kegagalan responden mematuhi beberapa peruntukan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 termasuk mendapatkan nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum kelulusan Draf Rancangan Struktur 2030 oleh SPC dan mendapatkan nasihat NPPC apabila permohonan kebenaran merancang dikemukakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

