malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Bersatu gesa KKM kawal selia kandungan cecair vape
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM
ADS

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan rangka kerja untuk mengawal kandungan cecair vape kerana pada masa ini tiada undang-undang mengenai perkara itu.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata dia telah menghantar surat kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad meminta peraturan terperinci dan jelas berhubung kandungan vape berhubung perkara itu.

“Dalam surat tersebut, saya mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan merujuk kepada piawaian di negara-negara yang telah memperkenalkan peraturan berkaitan vape sebelum ini.

"Contohnya, ada negara yang telahpun menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan-bahan yang terkandung dalam cecair vape, kandungan nikotin, dan kepekatan cecair vape.

"Dalam Kesatuan Eropah, setiap katrij hanya dibenarkan mengandungi 2ml cecair vape, manakala kandungan nikotin pula mestilah tidak lebih dari 20 mg per ml.

"Negara kita tidak mempunyai peraturan seperti ini dan peraturan tersebut mesti diperkenalkan segera, ," katanya dalam catatan Facebook.

Tahun lepas, menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa mendapat kecaman selepas kementeriannya menggugurkan peruntukan generasi penamat (GEG) daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam yang disemak semula.

Zaliha telah menegaskan bahawa satu-satunya sebab mengapa peruntukan itu digugurkan daripada rang undang-undang yang disemak adalah kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) melihat klausa GEG sebagai "tidak berperlembagaan".

Sementara itu, Wan Saiful menambah, kawal selia kandungan vape perlu dilakukan bagi memastikan ramuannya selamat dan tidak membahayakan pengguna.

"Sekarang ini tiada apa-apa peraturan yang dikenakan untuk mengawal bahan-bahan yang dicampur dalam cecair vape dan kita tidak tahu jika bahan merbahaya juga digunakan," katanya.

Dalam suratnya kepada Dzulkefly, Wan Saiful mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan membantu dalam membentuk rangka kerja undang-undang.

Wan Saiful turut menawarkan bantuannya kepada Dzulkefly dalam perkara itu, sambil menambah adalah lebih baik jika ahli parlimen lain yang berminat dalam isu itu turut diberi peluang untuk membantu.

Pada 15 Nov, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menuduh beberapa menteri menghalang perundangan yang bertujuan melarang mereka yang lahir selepas 2007 untuk membeli atau mengambil produk nikotin.

Khairy, yang mengilhamkan GEG, berkata pengendalian kabinet mengenai perkara itu adalah membingungkan.

Sebelum ini, sumber di Kementerian Kesihatan memberitahu Malaysiakini bahawa pelobi tembakau juga memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengugurkan GEG.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen